Malaysia Dateline

Permintaan contohi Kelantan disindir oleh orang ramai

Permintaan pemimpin Pas agar negeri-negeri lain di negara ini mencontohi kerajaan negeri Kelantan yang menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 selepas mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V mendapat sindiran dari rakyat negara ini.

Ini kerana, bagi mereka, tidak banyak perkara baik yang boleh dicontohi dan diambil dari Kelantan selepas lebih 30 tahun ditadbir oleh Pas.

Antara yang dibangkitkan oleh netizen dan orang ramai adalah Kelantan mempunyai kadar rogol yang tertinggi di Malaysia manakala kes dadah yang tertinggi juga didakwa berlaku di Kelantan.

Mereka juga mengungkitkan, Kelantan adalah negeri kedua termiskin di negara ini di samping negeri kedua paling ramai penganggur.

Kelantan juga sejak dahulu gagal membekalkan air bersih untuk ssemua rakyatnya berbanding dengan negeri lain.

Sementara itu, Saintis Politik Datuk Dr Mohamad Agus Yusof juga menyifatkan Kelantan ini pelik apabila melaksanakan undang-undang kesalahan jenayah syariah yang baharu itu dan mengenepikan keutamaan yang lain.

Kerajaan Kelantan Pas menguatkuasakan 24 peruntukan baharu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang antaranya melibatkan persetubuhan dengan mayat, sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam, dan persetubuhan dengan bukan manusia.

“Reaksi pertama saya ialah apakah negeri ini pelik, rakyatnya pelik, atau pemimpinnya pelik?

“Apakah Pas memikirkan inilah caranya untuk menyelamatkan negeri yang ramai rakyatnya susah sekarang?” tanya Dr Agus yang berasal dari Kelantan itu.

Bagi beliau, jika Pas mengutamakan pelaksanaan jenayah Islam, kenapa tidak diperjuangkan RUU 355 sementara berkuasa di peringat pusat?

“RUU 355 ini tentunya lebih meluas lagi pengunaannya di seluruh persekutuan dan melibatkan jenayah yang lebih kerap dilakukan berbanding dengan kesalahan bersetubuh dengan mayat atau bersetubuh dengan bukan manusia,” katanya.

Beliau seterusnya bertanya, sudah ditelitikah kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan itu sama ada bertentangan atau tidak dengan perlembagaan persekutuan, khususnya perbuatan unnatural sex itu?

“Tahukah pemimpin Pas, dalam kes Iki Putra, mahkamah persekutuan telah memutuskan mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam kesalahan-kesalahan yang telahpun berada di bawah undang-undang persekutuan, termasuklah jenayah unnatural sex?” tanya beliau.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, dalam memerintah Kelantan, Pas perlu tahu memilih prioriti.

“Rakyat hendakkan air paip bersih, peluang pekerjaan dan perniagaan serta kemudahan infrastruktur yang baik.

“Ini tidak, lain yang rakyat hendak, lain pula yang diberikan,” katanya.

Misalnya, rakyat dikenakan hukuman 6 bulan penjara atau denda RM1000 jika tidak menutup aurat.

“Bagaimana jika pakai seluar pendek, bagaimana jika pakai kain nampak lutut? Apakah itu dikenakan denda juga?” tanya beliau.

Bagi beliau, sementara kerajaan Kelantan boleh teruskan dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan Enakmen yang telah diluluskan, baik juga kiranya pemimpin Pas menggunakan masa dan tenaga untuk mengatasi masalah air, kebersihan, masalah dadah dan pil kuda, mengatasi masalah ekonomi rakyat, membangunkan pelancongan, dan menggiatkan projek kraftangan tempatan.

“Kerajaan Kelantan juga perlu perjuangkan banyak lagi isu besar lain seperti isu rasuah, literasi rakyat, alam sekitar, dan kewangan negeri yang selalu defisit.

“Jika ini tidak kerajaan Pas perjuangkan, negeri akan terus mundur dan merosot.

“Dengan kadar pertumbuhan ekonomi sekarang, bayangkan apa yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun dari sekarang?” tanya beliau.