Malaysia Dateline

Permintaan jalur lebar internet di Malaysia catat paras tertinggi

Permintaan jalur lebar internet di Malaysia terus meningkat dengan Malaysia Internet Exchange (MyIX) mencatat paras tertinggi 1.9 terabait sesaat (Tbps) pada Disember 2022 iaitu lonjakan lebih tiga kali ganda berbanding 588 gigabait sesaat pada Mei 2022.

Pengerusi MyIX, Chiew Kok Hin dalam kenyataan berkata rekod tertinggi di MyIX menunjukkan bahawa internet dan ekonomi digital sangat penting dalam gaya hidup dan budaya kerja rakyat Malaysia terutamanya dari segi hibrid.

Beliau berkata permintaan tersebut akan terus meningkat berikutan strategi Digital Malaysia terus memacu penerimagunaan dan peluang dalam ekonomi digital bagi menyokong pelan pemulihan negara.

“Selain itu, berikutan pertumbuhan pesat persidangan video dan trafik serta teknologi paparan berskala besar yang menyebabkan trafik video memerlukan jalur lebar tinggi, kami meramalkan permintaan terhadap jalur lebar internet akan meningkat dalam tempoh beberapa bulan dan tahun akan datang.

“Pendigitalan sememangnya semakin pantas di Malaysia sekali gus satu petanda baik berikutan kajian mendapati kemampuan sesebuah negara untuk bersaing dan berkembang pada abad ke-21 semakin bergantung kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang efisien,” katanya.

Chiew turut memuji usaha kerajaan untuk menjadikan ekonomi digital sebagai enjin pertumbuhan strategik kepada negara.

internet

Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, ekonomi digital menyumbang 22.6 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara dan ia dijangka menokok kepada 25.5 peratus pada 2025.

Setakat ini, MyIX yang ditubuhkan sebagai inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mempunyai 132 sistem autonomi dengan 210 ‘port’ atau hujung saluran penghantaran.

Menurut Chiew, MyIX menjangkakan lebih banyak dasar mesra pelabur untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau.

Cadangan itu termasuk melaksanakan semula dasar pengecualian kabotaj kepada kapal asing untuk menjalankan kerja pembaikan kabel dasar laut berikutan pelbagai syarikat multinasional asing telah banyak melabur bagi kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia dengan negara lain di dunia.

Setakat ini, semakin banyak pengendali pusat data telah berpindah atau sedang berpindah ke Malaysia untuk menambah baik kelajuan data bagi memenuhi keperluan bandar yang padat di rantau Asia Tenggara, katanya.

“Ini termasuk pusat data hiperskala yang menawarkan aplikasi yang kukuh, boleh skala dan portfolio perkhidmatan penyimpanan kepada individu atau perniagaan.

“Oleh itu, pelaksanaan semula dasar ini akan membolehkan Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan kabel dasar laut ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, turut disarankan adalah pengecualian kepada syarikat telekomunikasi dan pusat data mengenai potensi kenaikan tarif elektrik untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing ke negara ini.

MyIX mengurangkan harga ‘port’ sebanyak 33 peratus pada tahun lepas untuk memberi manfaat kepada negara termasuk untuk ahli dan pengguna akhir serta mendorong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia.

“MyIX kini adalah antara yang termurah di rantau ini. Kami akan terus memperjuangkan usaha untuk mengekalkan trafik internet tempatan tanpa perlu menggunakan laluan antarabangsa tidak langsung,” kata Chiew.

— BERNAMA

Baca juga : RM10 Bilion boleh diselamatkan daripada kebocoron