Malaysia Dateline

Permintaan pekerja sektor keselamatan terus meningkat, kata PIKM

Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) memaklumkan sehingga kini laporan menunjukkan kekosongan jawatan bagi pengawal keselamatan dalam negara adalah yang tertinggi bagi kategori Rank and File.

Presidennya, Datuk Seri Mustapa Ali berkata, ini kerana permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan berterusan meningkat terutama bagi pemilik bangunan yang mula sedar tentang ancaman jenayah dan ingin melindungi aset mereka.

Namun akuinya, sehingga kini kebanyakan pengawal keselamatan terpaksa bekerja lebih masa untuk mengimbangi kekurangan itu.

“Sebab utama tidak cukup pekerja kerana berkait dengan tugas dan tanggungjawab serta keadaan tempat kerja yang tidak menarik dan juga bayaran gaji yang tidak menentu.

“Tenaga kerja industri keselamatan berkembang pada kadar lima peratus setahun dalam tempoh lima tahun yang lalu dan ini adalah tinggi mengikut taksiran kami.

“Ini masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Namun, Akta Pekerjaan menetapkan jumlah maksimum jam kerja lebih masa dan jika pekerjaan bertambah baik di sektor-sektor lain, industri keselamatan akan menghadapi persaingan yang lebih sengit dalam pengambilan dan pengekalan pengawal keselamatan pada masa akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PIKM kali ke 26, pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, untuk meningkatkan produktiviti dan daya tarikan bagi industri keselamatan, Jawatankuasa PIKM menekankan dua langkah penting yang harus segera dilaksanakan oleh kerajaan.

Beliau menyarankan kerajaan untuk memperkenalkan Model Gaji yang berdasarkan kepada kemahiran oleh kerana upah pengawal keselamatan yang meningkat sebanyak 24 peratus setiap tahun antara 2014 dan 2016.

“Upah akan meningkat sekiranya Gaji Minimum terus dinaikkan pada tahun akan datang. Ketika itu, kita akan berdepan dengan keperluan upah kepada pengawal yang lebih tinggi sedangkan pelanggan kurang respon kepada fenomena kenaikan Gaji Minimum.

“Dalam konteks ini PIKM berharap Kementerian Sumber Manusia dapat membantu dan membimbing dengan segera untuk mengatasi kemelut ini

“Seterusnya, kami ingin melihat pembekal atau penyedia perkhidmatan keselamatan berubah dari hanya membekalkan tenaga manusia kepada penyediaan tenaga manusia yang mahir dan yang mampu memberi perkhidmatan berkualiti dan penyelesaian keselamatan bersepadu,”ujarnya.