Permintaan penumpang melantun pada Oktober

Permintaan penumpang melantun pada Oktober

Trafik penumpang global yang diukur daripada perolehan penumpang kilometer (RPK) berkembang 6.3 peratus tahun ke tahun pada Oktober, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA)

Menurut persatuan itu, pertumbuhan itu adalah lantunan daripada pertumbuhan 5.5 peratus yang direkodkan pada September, yang mana adalah terendah dalam masa lapan bulan.

Kapasiti juga berkembang sebanyak 6.3 peratus sementara faktor muatan tidak berubah pada 81.1 peratus, menyamai rekod tahun lepas untuk bulan berkenaan.

“Prestasi Oktober yang baik adalah meyakinkan selepas pertumbuhan permintaan yang perlahan pada September – sebahagiannya disebabkan oleh gangguan berkaitan cuaca.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan, pertumbuhan trafik sederhana berbanding awal tahun, mencerminkan latar ekonomi yang bercampur-campur dan rangsangan permintaan yang berkurangan daripada tambang yang rendah,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac, dalam satu kenyataan hari ini.

IATA mewakili 290 syarikat penerbangan, berjumlah 82 peratus daripada trafik udara global.

Permintaan penumpang antarabangsa meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun pada Oktober, meningkat daripada pertumbuhan 5.1 peratus pada September.

Menurut persatuan itu, syarikat penerbangan di semua rantau mencatatkan keuntungan, dengan jumlah kapasiti meningkat 6.1 peratus selain faktor muatan meningkat 0.1 mata peratusan kepada 79.8 peratus pada Oktober.

Pada bulan berkenaan, pertumbuhan trafik syarikat penerbangan Asia Pasifik berkembang 5.8 peratus tahun ke tahun, meningkat daripada pertumbuhan tahun ke tahun 5.4 peratus pada September.

Kapasiti meningkat 5.4 peratus dan faktor muatan meningkat 0.3 mata peratusan kepada 78.9 peratus.

Asas permintaan penumpang berterusan disokong oleh perubahan struktur termasuk taraf hidup yang meningkat di rantau ini dan perubahan saluran yang merangsang permintaan.

Menurut persatuan itu, permintaan domestik meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun pada Oktober, kapasiti meningkat 6.7 peratus sementara faktor muatan susut 0.2 mata peratusan kepada 83.3 peratus.

China, India dan Russia menerajui semua pasaran dengan kadar pertumbuhan dua angka, tambah persatuan itu.

— BERNAMA