Malaysia Dateline

Permit kempen rumah ke rumah sudah dimaklum awal, kata SPR

Arahan supaya setiap parti dan calon mendapatkan permit polis bagi kempen rumah ke rumah telah dimaklumkan sebaik sahaja kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula 2 Nov lepas dan bukan dilaksanakan ketika pertengahan kempen seperti didakwa pihak tertentu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun yang menegaskan perkara itu berkata wakil calon yang bertanding juga dimaklumkan mengenai perkara itu dan tiada bantahan diterima daripada pihak berkenaan.

“Mereka tidak membantah malah selepas itu, ramai yang meminta, memohon permit tersebut dan permit-permit tersebut dikeluarkan oleh pihak polis.

“Jadi, ia tidak diperkenalkan pada pertengahan kempen. Ia satu pembohongan dan saya fikir mereka yang melakukan pembohongan itu berniat jahat dan pihak yang menyatakan bahawa SPR yang menetapkan syarat itu juga berniat jahat.

“Ia satu pembohongan, saya tidak faham, saya tidak tahu motifnya tetapi ia satu pembohongan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses semakan isi peti undi dan agihan peralatan kepada ketua tempat mengundi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

Isu permit itu sebelum ini timbul selepas polis menetapkan semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK itu perlu mendapatkan permit bagi kempen dari rumah ke rumah untuk memudahkan pihak polis membuat pemantauan bagi memastikan perkara berkaitan keselamatan awam diberikan keutamaan dan untuk mengelak kejadian provokasi dan pergaduhan antara parti yang bertanding.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas semalam menjelaskan bahawa kempen dari rumah ke rumah untuk pilihan raya tidak memerlukan permit.

Ini berikutan tiada peruntukan yang jelas ditetapkan untuk perkara berkenaan di bawah Sekayen 24(B) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya bersetuju dengan beliau, Peguam Negara selaku ketua pegawai undang-undang kerajaan telah mengeluarkan garis panduan dan tafsiran beliau terhadap undang-undang dan secara peribadi, ya saya bersetuju dengan nasihat beliau itu. Tafsiran beliau berhubung undang-undang itu adalah betul …iaitu tidak perlukan permit untuk program tinjauan mesra atau lawatan rumah ke rumah,” kata Azhar.

Sementara itu, berhubung hari pengundian esok, Azhar mengingatkan calon, penyokong dan pengundi supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuklah tidak memakai baju yang memaparkan nama, logo atau sebarang benda yang berkait dengan calon ataupun parti.

Beliau berkata semua bentuk sokongan kepada calon atau parti juga mestilah berada pada jarak sejauh 50 meter dari kada kawasan mengundi.

Selain itu, kain rentang atau baju yang mempunyai slogan parti juga dilarang berada dalam kawasan mengundi.

“Saya pohon sangat agar perkara tersebut tidak berlaku lagi sebab sebelum ini (PRK sebelumnya) terdapat seorang dua berbuat demikian malah calon sendiri pun berbuat demikian. Saya tidak tahu lah mereka tidak faham, terlupa atau sengaja tapi saya pohon sangat-sangat agar perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Azhar juga menasihatkan agar semua pengundi keluar awal untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.