Permohonan Anwar batal keputusan Lembaga Pengampunan 28 Mac

Permohonan Anwar batal keputusan Lembaga Pengampunan 28 Mac

Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Mac untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota keluarganya bagi kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi pengampunan diraja atas sabitan kerana meliwat.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamar apabila kes itu disebut hari ini.

Pada 24 Jun, tahun lepas, bekas ketua pembangkang itu, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah serta Nurul Nuha memfailkan permohonan dengan menamakan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili responden manakala peguam Melissa Sasidaran mewakili Anwar.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac, 2015, dan mendesaknya menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 68.

Mereka juga memohon perintah mandamus bagi mendesak Lembaga Pengampunan mengadakan semula mesyuarat dan menimbangkan semua perkara berkaitan petisyen bagi pengampunan diraja yang dikemukakan oleh anggota keluarga Anwar dan memberi nasihat yang bersesuaian kepada Yang di-Pertuan Agong.

Anwar, dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, mendakwa bahawa keputusan oleh Lembaga Pengampunan dicapai secara melanggar peraturan keadilan asasi dan oleh itu tidak sah.

Anwar mendakwa bahawa keputusan Lembaga itu tidak pernah disampaikan secara bertulis kepadanya atau anggota keluarganya yang mengemukakan petisyen tersebut.

Beliau mendakwa bahawa keputusan itu juga tercemar dan mempunyai kecacatan kerana Peguam Negara ketika itu adalah pihak yang berkepentingan yang menaruh perasaan kebencian yang berlarutan terhadapnya.

Anwar berkata Peguam Negara berbincang pada mesyuarat dengan lembaga pada 16 Mac tahun lepas dan ini disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.

TAGS