Permohonan Anwar sentuh ahli keluarga ditolak

Permohonan Anwar sentuh ahli keluarga ditolak

Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonannya untuk mencabar Penjara Sungai Buloh yang tidak membenarkan beliau bersentuhan dengan ahli keluarganya ketika lawatan di penjara.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Anwar, 69, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan itu atas alasan mahkamah tidak boleh mencampuri proses membuat keputusan pihak penjara.

Menurut Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed, tindakan pihak penjara yang menghalang sentuhan fizikal ketika berlangsungnya lawatan bukan sesuatu yang tidak rasional, tidak sah dan tidak mematuhi prosedur.

Selain Anwar, turut bertindak selaku pemohon ialah isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 63, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25.

Turut memfailkan permohonan ialah anak Nurul Izzah, Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir Iskandar dan Raja Ahmad Harith, masing-masing berumur sembilan dan tujuh tahun.

Selain itu, anak Nurul Nuha iaitu Sulaimaan Mohamad Khairul, dan Yahya, masing-masing berumur empat dan tiga tahun juga berbuat demikian.

Mereka menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Kesemuanya memohon perintah bahawa keputusan pengarah Penjara Sungai Buloh bertarikh 14 Mac 2016 yang melarang sentuhan fizikal antara Anwar dan kesemua anggota keluarga dibatalkan.

Mereka mendakwa semasa lawatan ke penjara yang dibenarkan setiap tiga minggu sekali, Anwar dipisahkan daripada mereka melalui dinding kaca dan percakapan hanya dibuat melalui telefon.

Anwar melalui surat peguam caranya bertarikh 2 Mac 2016, telah memohon kepada ketiga-tiga responden supaya membenarkan sentuhan fizikal semasa lawatan keluarga ke penjara.

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mendakwa Pengarah Penjara Sungai Buloh menolak permohonan tersebut melalui surat bertarikh 14 Mac tahun lalu.

TAGS