Malaysia Dateline

Permohonan bayaran jamin Ketua Pemuda AMANAH dikurangkan kepada RM3,000

Pertuduhan terhadap Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini selesai tengahari tadi.

Hasbie dituduh di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 selepas menyertai himpunan secara aman di Masjid Kg Baru, KL dalam menuntut harga barang diturunkan.

Dalam hujahan tadi, barisan peguam Hasbie membangkitkan bantahan awal bahawa pertuduhan dijatuhkan adalah tidak berasas kerana ia tidak berpelembagaan.

Barisan peguam juga membantah syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwa untuk Hasbie menyerahkan pasport pada pihak mahkamah, melapor diri di balai polis dan dilarang memberi komen tentang kes ini.

“Kita bergantung kepada kes Nik Nazmi pada 2014 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan bahawa seksyen 9(5) ini bertentangan dengan artikel 10(1)C Perlembagaan Persekutuan,” kata Faiz.

Majistret Wong Chai Sia kemudian mengarahkan permohonan bayaran jamin sebanyak RM10,000 oleh Timbalan Pendakwa Raya dikurangkan sebanyak RM3,000.

Selain itu majistret turut menolak syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwa raya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 September 2022.