Malaysia Dateline

“Permohonan ditolak kerana dianggap remeh, menyusahkan”, Hakim tidak benarkan Najib cabar keputusan penjara

Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkan beliau menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid sebentar tadi memutuskan, bekas Perdana Menteri bukan lagi bergelar Ahli Parlimen Pekan ekoran pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Beliau juga berpendapat tiada isu yang timbul untuk dipertimbangkan oleh mahkamah kerana tugas beliau sebagai wakil rakyat selesai sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

“Sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, pemohon (Najib) bukan lagi seorang Ahli Parlimen.

“Sehingga pengampunan diberikan, atau sabitan diketepikan selepas semakan semula, tidak ada kemungkinan pemohon sekali lagi akan menjadi Ahli Parlimen yang pada masa sama juga seorang banduan, kerana undang-undang menghalang sesiapa yang disabit kesalahan untuk bertanding, selaras dengan Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, permohonan kini menjadi akademik dan ia tidak mempunyai merit. Saya menolak permohonan itu kerana dianggap remeh dan menyusahkan,” kata hakim.

Pada 5 Oktober lepas, Najib, 69, memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman untuk mencabar keengganan Jabatan Penjara membenarkan permohonannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 5 Oktober lalu, Najib menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden-responden.

Baca juga: Nenek terkejut tengok cucu tak sedarkan diri dalam bilik air, kepala pula berada di dalam besen

Baca juga: Selepas suntik ‘filler’, bibir wanita ini bengkak tiga kali ganda