Malaysia Dateline

Permohonan ke aliran sains merosot

Sejak 2013, minat lepasan SPM dan STPM untuk memilih aliran sains semakin merosot.

Jumlah permohonan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi memasuki aliran sains menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merosot sejak 2013.

Trend penurunan permohonan aliran sains ke universiti awam (UA), politeknik dan kolej komuniti sepanjang tempoh itu menyaksikan penurunan sehingga 21 peratus bagi lepasan SPM dan 10 peratus bagi pemegang STPM.

Pada 2013, sebanyak 105,000 permohonan lepasan SPM ke aliran sains diterima oleh KPT berbanding hanya 83,000 pada tahun ini.

Bagi tahun sama juga cuma 26,000 pemohon lepasan STPM diterima berbeza dengan 29,000 permohonan pada empat tahun lalu.

Jumlah permohonan melalui Unit Pengambilan Universiti atau UPUONLINE yang semakin mengecil itu didedahkan Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, Mazula Sabudin dalam akhbar Berita Harian semalam.

Menurutnya, KPT kekurangan 1,200 pelajar pada tahun ini untuk mengisi program ijazah sarjana muda dalam bidang sains yang ditawarkan di 20 UA untuk lepasan STPM.

Mengulas pola kemerosotan pemohon aliran sains di pengajian tinggi itu, beliau dipetik sebagai berkata, negara mengalami kerugian jika peluang pengajian tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Mengakui situasi tersebut sebagai membimbangkan, tambahnya lagi, bilangan pelajar aliran sains di sekolah yang berkurangan antara punca yang menyumbang penurunan permohonan ke aliran itu di peringkat pengajian tinggi.