Malaysia Dateline

Permohonan pemilih baharu dipamer di 957 lokasi pameran

Permohonan pendaftaran pemilih baharu, permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar dan nama-nama digugurkan daripada daftar pemilih, adalah antara akan dipamerkan di seluruh negara oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi tempoh itu akan dipamerkan selama 14 hari mulai 31 Julai hingga 13 Ogos 2019 di 957 tempat-tempat pameran di seluruh negara.

Katanya, pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 April 2019 hingga 30 Jun 2019 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT tersebut, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

“Bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT dalam satu-satu bahagian pilihan raya, mereka bolehlah berbuat demikian, dengan mengisi Borang C.

“Tuntutan atau Bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran Rang DPT itu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, semasa tempoh Pameran Rang DPT, SPR akan mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

Jelasnya, antara sebab SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan kerana mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT dalam suku Tahun Kedua, boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT.