Malaysia Dateline

Permohonan pendakwaan pindah kes rasuah Abdul Azeez ke Mahkamah Tinggi pada 28 Nov

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 28 Nov untuk pendengaran permohonan pendakwaan untuk memindahkan tiga kes rasuah Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berjumlah RM5.2 juta serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memberitahu perkara itu kepada media selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som.

“Pendakwaan juga memfailkan permohonan sama dalam kes abang Abdul Azeez, Datuk Abdul Latif. Kedua-dua permohonan akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali,” katanya.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili Abdul Azeez, 52, dan Abdul Latif ,61.

Pada 16 Jan lepas, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta.

Bagi pertuduhan rasuah, dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, di sini pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.

Bagi kes pengubahan wang haram, dia dituduh melakukan kesalahan itu antaranya di sekitar Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Abdul Latif mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez, yang telah secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta daripada Mohammad Redzuan.

Wang itu sebagai upah membantu Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan Projek Membina Lebuhraya Persisiran Pantai Baru: Kerja-Kerja Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak Darul Ridzuan) secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya Malaysia yang bernilai RM644,480,000.00.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Petaling, Selangor antara 13 Jun 2017 dan 10 April 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 28(1)(c) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.