Malaysia Dateline

Permohonan pindah kes rogol libatkan Exco ke Mahkamah Tinggi ditolak

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes merogol pembantu rumah dihadapi Exco Perak Paul Yong Choo Kiong dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Radzi Harun dalam keputusannya berkata hakim Mahkamah Sesyen kompeten dan berupaya untuk mendengar kes berkenaan.

 “Oleh itu, saya dapati tiada sebab untuk mahkamah ini membenarkan permohonan ini. Permohonan ini ditolak dan kes ini diarahkan untuk didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di mana tarikh sebutan telah ditetapkan oleh mahkamah tersebut pada 5 Dis depan,” katanya.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong, dan Azhar Mokhtar yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya.

Terdahulu, dalam hujahnya, Rajpal berkata pihaknya memohon memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi kerana membabitkan undang-undang rumit.

“Isu-isu rumit telah ditimbulkan dalam kes ini di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009 di mana pihak pendakwaan memohon untuk menggunakan akta tersebut terhadap dua saksi termasuk saksi utama,” katanya.

Azhar ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihak pendakwaan dalam hujahnya tidak membantah permohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu, namun keputusan mahkamah tinggi menyatakan isu kes adalah tidak begitu kompleks untuk didengar di mahkamah berkenaan.

Pendakwaan hari ini turut dikendalikan Naidatul Athirah Azman dan Ainul Wardah Shahidan manakala peguam Rajpal, Terence Naidu, Salim Bashir dan Farhan Sapian daripada pasukan pembelaan mewakili Yong.

Pada 23 Ogos lepas, Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya itu di sebuah rumah di Meru Desa Park, antara 8.15 malam dan 9.15 malam, 7 Julai.

Pada 24 Sept, Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid menetapkan 11 hingga 15 Nov sebagai tarikh perbicaraan kes melibatkan Yong yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Pada 13 Nov, pasukan pembelaan yang diketuai Rajpal telah memfailkan notis usul untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.— BERNAMA