Malaysia Dateline

Permohonan Rosmah untuk gantung keputusan Mahkamah Tinggi didengar 19 April

Permohonan pihak pembelaan yang mewakili isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang memindahkan kes rasuah berhubung projek tenaga solar ke mahkamah itu akan didengar pada 19 April ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn kepada media selepas pengurusan kes berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Raja Shahril Anuar Raja Baniamin, di sini hari ini.

Pada 20 Mac lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi selepas permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada 15 Mac.

Pada 15 Nov 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lepas.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah, 67, diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.