Permohonan Salleh sertai PKR ditentukan mesyuarat biro politik,kata Wan Azizah

Permohonan Salleh sertai PKR ditentukan mesyuarat biro politik,kata Wan Azizah

Permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menganggotai PKR akan ditentukan menerusi perbincangan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR, kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kita akan pertimbangkanlah kemasukan (Salleh) sebab dia ada sensitiviti masing-masing dan walaupun PM (Perdana Menteri) kata tiada salahnya untuk melompat parti, namun ada juga yang merasakan bahawa mungkin kita akan melihat apa yang belakang (tujuan) lompat parti ni kan.

“Kita akan bincangkan sama ada beliau diterima atau tidak. Maksud saya, kami menerima permohonan beliau, diterima sebagai ahli anggota atau tidak itu akan dibincangkan di (mesyuarat) Biro Politik,” katanya ringkas ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berpandangan semua anggota PKR harus bersifat terbuka dalam menerima kemasukan tokoh yang dapat memberi manfaat kepada parti.

Kenyataan beliau itu susulan daripada luahan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Mustapha Sakmud yang menyatakan beliau terkesan dan merasai kebimbangan pimpinan serta ahli parti seluruh negeri itu dengan permohonan Salleh Said untuk menyertai PKR.- BERNAMA