Malaysia Dateline

Tahap umur perkahwinan disaran ditingkat ke 18 tahun

Permudahkan SOP perkahwinan pasangan muda

Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan mengemaskini dan mengkaji semula SOP bagi memudahcara pasangan muda yang mahu melangsungkan perkahwinan mereka ketika Malaysia bersedia menuju endemik Covid-19.

Asmaaliff Abdul Adam berkata, SOP perkahwinan yang sangat merumitkan menyebabkan ramai anak muda terpaksa menangguhkan pernikahan malah bukan jumlah yang sedikit yang berhasrat membatalkan perkahwinan mereka.

“Antara perkara dasar yang boleh dibentangkan adalah seperti jalan keluar kepada polisi yang tidak mesra pasangan muda yang mahu mendirikan rumahtangga ketika pandemik Covid-19 ini.

“Saya ingin menzahirkan kekecewaan terhadap jawapan yang dikemukakan oleh dua (2) Ahli Parlimen daripada PAS iaitu YB Idris Ahmad (Menteri Agama) dan YB Zailah (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) di Parlimen berkaitan 2 kementerian penting untuk Umat Islam,” katanya.

Kedua-dua Menteri dan Timbalan Menteri ini sepatutnya kata beliau memanfaatkan sidang parlimen untuk membentangkan perkara dasar.

Sebaliknya, kata beliau jawapan parlimen yang diberikan dilihat bersifat dendam politik dan hanya berbentuk laporan lawatan yang langsung tidak menggambarkan kompetensi sebagai pembuat dasar sebagai seorang Menteri dan Timbalan Menteri.