Malaysia Dateline

Permudahkan urusan perkahwinan dalam tempoh PKP

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini terdapat aduan terhadap urusan akad nikah yang terpaksa ditangguhkan terutamanya di negeri Johor.

Sehubungan dengan itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Mohd Azam Mektar mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memudahkan urusan akad nikah tersebut.

Perkara itu ujarnya mampu memudahkan pasangan yang terpaksa menangguh pernikahan sewaktu PKP ini dapat menyelesaikan matlamat atau hajat mereka untuk mendirikan rumah tangga.

“Kita akui terdapat kesulitan untuk mengadakan akad nikah di negeri Johor ini namun perkara itu boleh dipertimbangkan dengan menggunakan teknologi seperti yang dilakukan di negara  UAE.

“Saya mendapat maklumat terdapat pasangan yang sudah merancang perkahwinan mereka serta telah menyusun sehingga menyewa rumah untuk duduk bersama tetapi terpaksa duduk berasingan kerana PKP yang telah dilaksanakan.

“Dalam pada itu melalui maklumat yang diterima oleh pihak kami, notis yang dikeluarkan untuk penangguhan akad nikah di negeri Johor ini terlalu singkat yakni kurang dari 24 jam. Pastinya ia mendatangkan pelbagai kerumitan untuk pasangan yang berkahwin menyusun perancangan seterusnya.

“Kita takut sekiranya PKP ini diteruskan sehingga berlarutan dalam jangka masa yang lama, pastinya perancangan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga ini akan terkesan,” katanya.

Menurutnya, pertimbangan menggunakan teknologi terkini itu mampu membantu kerajaan mengelakkan hubungan sosial dalam menyekang perebakkan wabak Covid-19.

Katanya lagi, Jabatan Agama Islam Negeri Johor boleh mempertimbangkan perkara itu mengikut syarak yang ditetapkan oleh Islam.

“UAE antara contoh negara yang telah mengamalkan cara penikahan menerusi talian dan ini memudahkan pasangan untuk bernikah secara sah.

“Penangguhan pernikahan ini dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai kecelaruan sekiranya ia berlarutan dalam jangka masa yang lama. Kerajaan perlu mempertimbangkan perkara ini serta memutuskannya dengan segera.

“Kita juga boleh meraikan teknologi terkini yang selari dengan syarat sah syarak yang diajarkan di dalam Islam dan ia baik sekiranya mendatangkan kesan positif kepada agama Islam itu sendiri,” katanya lagi.

Sehubungan dengan itu, semalam dalam satu kenyataan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah melancarkan perkhidmatan perkahwinan dalam talian yang membolehkan pasangan meneruskan pernikahan walaupun dalam sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19.