Permulaan cemerlang Chen-Peck pada Korea Masters

Permulaan cemerlang Chen-Peck pada Korea Masters

Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei menampilkan permulaan cemerlang apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Korea Masters 2018 di Gwangju, Korea Selatan hari ini.

Chen-Peck yang juga pilihan ketiga, menewaskan pasangan tuan rumah Bae Kwon Young-Go Ah Ra; 21-16 dan 21-18 pada pusingan pembukaan kejohanan itu berlangsung di Stadium Universiti Wanita Gwangju, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Malaysia (BWF);  www.bwfbadminton.com.

Pemain profesional Malaysia, Mohamad Arif Ab Latif yang bergandingan dengan Rusydina Antardayu Riodingin dari Indonesia, turut mara ke pusingan seterusnya setelah menumpaskan Mathew Fogarty-Isabel Zhong dari Amerika Syarikat; 21-9 dan 21-16.

Beberapa pemain negara termasuk pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia dan juara remaja wanita dunia, Goh Jin Wei, masing-masing akan memulakan aksi pada pusingan pembukaan, esok.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara beregu wanita pada kejohanan Jelajah Dunia BWF berstatus Super 300 itu yang menawarkan hadiah wang tunai US$250,000 (RM1.047 juta).

— BERNAMA