Pastinya setiap umat Islam mahu merasai peluang menunaikan haji sekali seumur hidup apatah lagi ia hanya berlaku sekali dalam setahun.
Buat pelakon veteran, Wan Maimunah tidak menyangka dia akan mendapat peluang menjalani rukun Islam kelima pada 10 Mei ini.
Menurut Kosmo! Online, Wan Maimunah menerima panggilan wakil Lembaga Tabung Haji sebelum Ramadan lagi.
“Awalnya saya macam tak percaya, tetapi selepas diyakinkan lengkap pengesahan butiran peribadi, baru saya sedar itu bukan gurauan, sekali gus membuatkan saya terlalu sebak.
“Semua ini kuasa tuhan. Doa saya di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah dua tahun lalu didengar Allah yang menyebabkan saya tak berhenti menangis.
“Antara sayu, terkejut dan berasa sangat kerdil dijemput secepat ini, perasaan yang berbaur ketika itu sukar untuk saya terjemahkan sehingga saya meraung.
“Hanya Allah sebaik-baik perancang,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Walau perlu bersiap sedia dalam tempoh singkat, pelakon air mata itu tidak menganggap perkara tersebut sebagai kekangan.
Urusan dipermudah orang sekeliling
Tambahnya dia bersyukur dikurniakan sahabat dan keluarga yang banyak membantu dalam urusan kemas barang keperluan.
“Tiadalah apa yang perlu dirunsingkan walaupun banyak barang yang belum dikemas lagi tetapi itu bukan isu besar pun sebab ramai bantu.
“Paling penting kita pergi dengan tenang untuk beribadah, jadi kena pastikan jaga kesihatan agar mampu menyempurnakan setiap rukun.
“Tambahan pula saya pergi bersendirian, namun tidak perlu bimbang keadaan saya. Allah jaga saya, jemaah lain pun ramai,” ujarnya.
Baca juga: Hanya ditawar RM150 sehari, pelakon lama luah rasa kecewa dengan dunia hiburan