Cukup terkenal dengan pembikinan video yang mencuit hati penonton, Ryan Bakery mendedahkan bahawa dirinya pernah bergelar penganggur.
Personaliti media sosial itu berkata, dia diberhentikan kerja dari sebuah syarikat penerbangan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Bagi menampung kehidupan selepas dibuang kerja, Ryan mula berniaga popia sebelum mula berjinak-jinak dalam bidang pembikinan video.
Sedar akan peluang meningkatkan pendapatan melalui laman media sosial khususnya, TikTok, dia mula mencuba nasib dengan bantuan isterinya.
Menurut Ryan, pada awal pembabitannya, wanita itu sanggup mengeluarkan modal bagi membeli segala kelengkapan yang diperlukan.
“Walaupun belum berkahwin, dia sanggup keluar duit sendiri untuk membeli kelengkapan membuat video meskipun gaji tidaklah terlalu tinggi.
“Saya sampai ke tahap sekarang ini juga disebabkan dia. Banyak modal yang telah dikeluarkan. Apa sahaja yang saya mahu dia akan belikan,” katanya.
Ahad lalu, Ryan Bakery dianugerahkan gelaran Digital Content Creator Tergempak dalam majlis Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2022.
Menerima kecaman kerana sering membawa isteri dalam menghadiri pelbagai majlis penting, Ryan tidak cepat melatah.
“Inilah cara saya menghargai segala pengorbanan isteri dengan membawa dia ke mana-mana acara.” tambahnya.
Baca juga: ‘Sekarang semua saya bayar cuma guna duit dialah’, sebelum kahwin ‘tong-tong’ isi minyak, makan