Pernah gaduh 13 tahun lalu, ‘uncle’ singlet putih dedah cerita sebalik video satu lawan satu

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu rakaman pergaduhan melibatkan dua lelaki tempatan di sebuah kedai runcit di Pulau Pinang kekal menjadi topik perbincangan hangat di platform media sosial.

Terbaharu, salah seorang individu terbabit iaitu lelaki berbangsa India yang memakai singlet putih dalam video tersebut tampil membuat penjelasan mengenai kejadian itu.

Lelaki itu mendakwa, perselisihan faham antara mereka berpunca daripada layanan tauke atau pemilik premis berbangsa Cina berkenaan yang menurutnya agak biadap.

Mereka berdua kemudian bertikam lidah dan saling melakukan provokasi hinggalah tauke berkenaan dikatakan mengajak lelaki India terbabit berlawan ‘satu lawan satu’.

Difahamkan ketika bergaduh, tauke terbabit berkali-kali mengingatkan lelaki India itu dan rakannya bahawa pertarungan mereka kekal satu lawan satu atau secara ‘gentlemen’.

Namun pada babak akhir pergaduhan, lelaki India berkenaan bertindak menghentak kepala tauke kedai menggunakan helmet sebelum dirinya sekali lagi ditumbangkan.

Menerusi penjelasan yang dilakukan di laman TikTok itu, lelaki India terbabit mengaku mempunyai tali pinggang hitam dalam karate iaitu sejenis seni mempertahankan diri.

Lelaki terbabit bagaimanapun tidak mampu mempertahankan dirinya sendiri ketika pertarungan di kedai runcit itu berlaku berikutan berada di dalam keadaan mabuk.

Dalam video sama, lelaki India itu juga sempat membuat permohonan maaf terutamanya kepada masyarakat Tamil yang mungkin terkena tempias di atas ketelanjurannya.

Memandangkan penjelasan tersebut dilakukan di dalam bahasa Tamil, tinjauan mendapati ramai masyarakat India tampil membantu menterjemahkan kenyataan lelaki itu.

Salah seorang pengguna TikTok kemudian memberitahu bahawa lelaki India terbabit mendedahkan yang dirinya pernah bergaduh dengan tauke Cina itu pada 13 tahun lalu.

Baca juga: Netizen Indonesia tergamam dengar alasan peminta sedekah tolak duit, “jika saya ambil saya perlu jawab di akhirat”