Pernah ikat perut tiga bulan, tak mampu bayar sewa rumah, Remy Ishak akui permulaan karier bukan senang

Oleh MAISARAH AISYA

Hampir dua dekad menjadi pelakon, pastinya Remy Ishak sudah merasa asam garam hidup sebagai selebriti.

Siapa menyangka, lelaki yang terkenal dengan jolokon Hero Malaya ini pernah bercita-cita mahu menjadi penyanyi.

Menurut Harian Metro, Remy berkongsi dia mempunyai satu band yang bermain di majlis-majlis tertentu dengan rakan sekampung.

“Dulu di kampung saya mempunyai band yang sering bermain di majlis-majlis tertentu. Saya memang menyimpan cita-cita menjadi ‘rockstar’.

“Impian saya sebenarnya hendak menghasilkan album dan menjadi artis rakaman. Jadi, saya memulakan langkah ke Kuala Lumpur untuk mengkaji industri seni.

“Ketika tiba di Kuala Lumpur pada 1998, saya terbaca berita di surat khabar mengenai penyanyi sukar hendak menjual album dan sebagainya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Bukan senang nak menjadi pelakon

Menerima takdirnya bukan sebagai penyanyi, Remy berkongsi kesukaran mendapat watak untuk lakonan.

“Semangat hendak menjadi bintang itu sentiasa ada dalam diri. Biarpun ketika itu bekerja dalam bidang perkhidmatan makanan, namun saya tetap menghadiri uji bakat.

“Mungkin dari uji bakat berlakon itu, saya akan mengenali orang dalam industri tapi lama-lama dah melekat, seronok pula berlakon. Namun ketika itu, mana ada platform sosial media seperti sekarang.

“Saya turun naik bas, kena tolak dengan pihak produksi kerana wajah saya terlalu Melayu pada ketika itu yang mana industri memilih wajah kacukan atau Pan Asian,” tambahnya.

Ikat perut tiga bulan

Bukan hanya itu, Remy turut mengimbas kembali kenangan lalu apabila dia terpaksa ikat perut dan tidak mampu bayar sewa rumah.

“Pernah ikat perut selama tiga bulan yang mana makan pun sekadar cukup makan saja. Sehinggakan sewa rumah pun tak mampu hendak bayar.

“Seperti semua sedia maklum, bekerja dalam bidang ini sebagai ‘freelancer’, apabila ada kerja maka ada gaji. Hendak menjayakan watak dan karakter korporat pun tidak mampu beli baju sehingga terpaksa pinjam kawan.

“Pernah juga mak di kampung telefon minta wang hendak beli dedak buat ayam dan itik di kampung. Boleh dikatakan tiga tahun juga saya ‘struggle’,” ujarnya lagi.

Baca juga: Tak pasal-pasal kena hentam, Mira Filzah tersilap antara bendera ini dengan Palestin