Pernah jadi tumpuan lepas meletup kempen BMF, Malakat Mall kini umum tutup sepenuhnya lepas 4 tahun

Oleh KIM SYAZIE

Jika sebut tentang Malakat Mall, pasti teringat kempen Buy Muslim First (BMF) yang pernah menjadi fenomena pada 2018 rentetan isu produk keluaran muslim yang ‘dianaktirikan’ dan kurang mendapat sambutan di pasar raya.

Kejayaan BMF ketika itu tidak berakhir sekadar di media sosial, tetapi beralih ke fasa penubuhan sebuah pasar raya berkonsepkan Islamik yang banyak menempatkan kedai-kedai dari usahawan bumiputera.

Namun begitu selepas empat tahun beroperasi, pusat beli belah itu dilaporkan telah pun menutup satu-satunya premis fizikal di Cyberjaya.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim yang berkata, hari terakhir pusat beli belah tersebut dibuka kepada umum ialah pada 31 Julai ini.

“Imej pasar mesra muslim dan mesra usahawan adalah imej Malakat Mall yang tidak akan berhenti di sini dan mesti diteruskan dalam apa jua bentuk yang bersesuaian.

“Kami akan bina kekuatan asas kumpulan kami dengan memberi fokus kepada sistem dalam talian.

“Semoga usaha ini akan mencapai kejayaan di masa hadapan. Kami mohon doa dan sokongan yang berterusan agar perjuangan ini mencapai kejayaan di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, sejak dibuka pada 13 Mac 2020, Malakat Mall telah diuji dengan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan pandemik Covid-19 selepas hari ke-5 beroperasi.

Mohd Fadzil turut mengumumkan Penjualan Penutupan Malakat Mall dengan diskaun aset sehingga 70 peratus mulai 20 Julai sehingga 31 Julai ini.

Menurut beliau, Malakat Mall akan meneroka model perniagaan baharu dengan perniagaan makanan dan minuman akan berpindah ke dalam bangunan Casa DeMadani yang akan diubah menjadi restoran.

Unit peruncitan akan berpindah 100 peratus kepada perniagaan secara dalam talian bagi jualan pelbagai barangan seperti busana, aksesori, alat tulis, buku serta perhiasan.

Manakala kedai Malakat Grocer akan dikekalkan operasi di Taman Kosas, Ampang

Baca juga: Tepung berketul walaupun belum ‘expired’, ini cara senang nak jadikan ia halus semula