Malaysia Dateline

Pernah lihat Ismail Sabri, Mahiaddin atau Zahid edar makanan tengah hari kepada petugas media?

“Pernahkah anda melihat Ismail Sabri, Mahiaddin atau Zahid edar makanan tengah hari kepada petugas media yang menunggu di luar? Tidak pernah!

“Ini (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sepatutnya #PM10 Malaysia. Pemimpin sejati yang prihatin terhadap rakyat. #DSAIPM10.”

Itu antara ribuan ciapan di Twitter dengan tanda pagar PM10 ketika Malaysia masih bergelumang dalam kemelut pelantikan Perdana Menteri ke-10 (PM10).

Ciapan itu susulan tindakan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tengah hari semalam keluar dari pejabatnya untuk mengedarkan makanan kepada wartawan dan jurugambar.

Masuk hari kelima selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, #PM10 sohor kini di Twitter dengan lebih 7,000 ciapan setakat 9.30 pagi tadi.

Dalam tempoh sama, #DSAI yang merujuk pada Anwar turut menjadi bahan bualan warga maya dengan lebih 21,000 ciapan di Twitter.

Serentak itu juga, gambar ‘meme‘ (gambar lucu) turut bertaburan di media sosial dengan antaranya mengaitkan musim Piala Dunia 2022 yang sedang berlangsung di Qatar.

Turut mencuit hati warga maya apabila muncul ‘borang permohonan jawatan Perdana Menteri’ lengkap dengan pelbagai maklumat perlu diisi selain perlu menyertakan gambar berukuran pasport.

“Segera! Perdana Menteri ke-10,” ciap pengguna Twitter, @nomuxnzxy.

Drama tolak dan tarik tali yang berlaku antara blok parti dalam usaha membentuk Kerajaan Persekutuan juga jadi penyebab rakyat letih menunggu.

Ada yang memberi gambaran penantian untuk melihat PM10 mengangkat sumpah jawatan seumpama hingga tinggal menjadi rangka.

“Semua orang di Malaysia menunggu PM ke-10 seterusnya diumumkan #MalaysiaMenunggu #MasihMenunggu #SayaMenunggu #PM10,” kata Steven Hum pula.

Keputusan PRU15 menyaksikan tiada mana-mana blok parti berjaya mendapat 112 kerusi Parlimen sekaligus gagal membentuk kerajaan.

Tiga blok utama, iaitu PH menang dengan jumlah kerusi tertinggi 82, diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 manakala Barisan Nasional (BN) memperoleh hanya 30 kerusi Parlimen.

Pagi ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam usaha merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri.

Pertama, seseorang itu hendaklah ahli Dewan Rakyat iaitu individu berkenaan memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU).

Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Baca juga Tanda Anwar bakal angkat sumpah?

Baca juga Tak berdaya lepas kemalangan, lelaki terpaksa minta tolong adik hantarkan makanan kepada pelanggan