Pernah sentuh isu 3R, Fahmi Fadzil jelaskan isu pembatalan permit persembahan pelawak Singapura

Oleh MAISARAH AISYA

Ada yang bising mengenai isu pembatalan permit persembahan pelawak terkenal Sharul Channa di Malaysia kerana menyentuh isu bangsa, agama dan institusi raja (3R).

Pembatalan tersebut dilakukan oleh Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

Memetik Bernama, ia adalah selepas mengambil kira laporan polis berkaitan sebuah video lamanya, yang dikatakan menyentuh isu 3R.

Tampil memberi penjelasan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, PUSPAL telah menerima makluman dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia menyatakan terdapat sejumlah laporan polis diterima berkait video lama oleh pelawak dari Singapura itu, yang dimuat naik semula baru-baru ini.

“Saya difahamkan, kerana video yang dimuat naik untuk mempromosikan persembahan itu dimuat naik baru-baru ini, dan akibat video yang dimuat naik itulah sejumlah laporan polis dibuat dan laporan polis itu dikatakan ia ada berkait isu 3R.

“Itu mungkin video lama, tapi laporan polis itu berkait isu 3R. Jadi PUSPAL telah mendapat maklumat itu dan membuat keputusan berdasarkan senario tersebut,” katanya seperti dipetik Bernama.

Jangan sentuh isu 3R walaupun sekadar melawak

Fahmi berkata, tindakan diambil PUSPAL itu juga adalah satu peringatan kepada artis dalam dan luar negara, agar tidak sama sekali menyentuh isu 3R yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

“Di Malaysia kalau kita sentuh isu 3R maka pihak berkuasa akan bertindak dan itu peringatan yang saya berikan sama ada kepada pengguna media sosial, kepada artis.

“Jadi isu ini adalah dalam bidang kuasa siasatan polis,” katanya.

Baca juga: Baru tahu Sheriff masuk pasaran Indonesia, pengarah terkenal berhasrat ‘nonton di bioskop’