Pernah terima bayaran RM80k untuk satu persembahan, Mawi kini fokus jadi penyampai radio

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja lupa akan fenomena ‘Mawi world’ dan ‘tsuMawi’, letak sahaja gambar di produk pasti akan terjual laris.

Juara Akademi Fantasia 3, Mawi dikenali dengan suara lunak merdu dan sering merendah diri hingga menambat hati ramai peminat di tahun 2005.

Namun kini sudah banyak penyanyi baru muncul hingga perlahan-lahan melenyapkan namanya di dunia seni.

Menurut Harian Metro, Mawi mendedahkan pernah menerima bayaran RM80,000 untuk persembahan ketika popular dahulu.

“Dulu dahsyat sangat perginya. Lepas AF, empat lima tahun selepas itu boleh dapat jumlah tak masuk akal. Bayaran sampai RM80,000 pun orang tak kisah janji saya datang.

“Sekarang saya jalan saja. Alhamdulillah masih ada rezeki. Tiap-tiap minggu ada orang panggil. Macam-macam tawaran termasuk yang pelik-pelik.

Majlis kahwin pun ada jemput saya. Yang penting memang bayarannya bukan biasa-biasa,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Kini dia lebih memilih untuk fokus kepada penyampai radio dan perniagaan bersama isterinya.

“Hari biasa saya bertugas sebagai penyampai radio Zayan FM. Saya bersyukur kerana ada pendapatan bulanan. Nyanyian pula rezeki lain sekarang.

“Apa yang boleh saya buat, saya buatlah antaranya menerusi perniagaan. Isteri saya pula jenis tak boleh duduk diam. Ada saja perniagaan yang dia buat.

“Dia yang banyak galakkan saya untuk berniaga dan selalu ingatkan kerjaya dalam bidang hiburan tak kekal lama.

“Jadi, saya ambil keputusan keluarkan produk kesihatan Mawi x Bajunid sebagai persediaan masa depan,” tambahnya.

Pada masa sama, Mawi mendedahkan masih menerima tawaran untuk buat persembahan namun mengehadkan ia kepada hujung minggu sahaja.

Baca juga: Tak puas hati hasil kerja kontraktor, Aiman Hakim Ridza sanggup cuti 6 bulan untuk siapkan rumah