Untuk melengkapkan ibadah haji, jemaah di Mekah perlu melontar di tiga jamrah yang melambangkan lontaran batu ke arah syaitan, iaitu di hari pertama Tasyrik, dan hari keempat ibadah itu.
Setibanya mereka di jamrah, jemaah akan melaungkan Allahuakbar melontar batu pertama di Jamrah Al-Sugra (tiang kecil), kemudian di Jamrah Al-Wusta (tiang sederhana) dan yang terakhir di Jamrah Al-Aqaba (tiang terbesar) masing-masing sebanyak tujuh kali.
Ramai daripada kita mungkin tertanya-tanya apa yang terjadi pada batu-batu tersebut selepas dilontar jemaah di kompleks jamrah di Mina.
Menjawab pertanyaan itu, Ahmed Al-Subhi, salah seorang pekerja dari syarikat pemaju utama yang berpusat di Mina berkata, kerja-kerja mengumpul semula batu-batu berkenaan akan bermula sebaik jemaah selesai melaksanakan ritual haji itu, lapor portal berita Arab News.
Menurut beliau, kesemua batu yang dilemparkan itu akan terkumpul di kawasan bawah tanah kompleks jamrah yang berada pada kedalaman 15 meter.
Kerja-kerja mengumpul batu-batu itu akan dilakukan oleh jentera dan sebaik semuanya dikumpulkan, proses saringan dan penyemburan air dimulakan untuk membersihkannya daripada kotoran.
Sebaik selesai proses itu, batu-batu itu dibawa oleh kenderaan untuk disimpan dan akan digunakan untuk musim haji akan datang pula.
Pakar-pakar menganggarkan bertan-tan batu diperlukan dalam proses melontar itu berdasarkan jumlah jemaah haji yang berhimpun di Tanah Suci.
Baca juga: Pemfitnah akhirnya bersemuka dengan Shuib, dakwa hanya ‘copy paste’ komen orang lain