Malaysia Dateline

Perobohan kuil: PH Johor terkilan sikap MB tidak cermat tangani sensitiviti kaum

Pakatan Harapan (PH) Johor amat terkilan dengan sikap ditunjukkan oleh Kerajaan Johor berhubung isu perobohan kuil berusia mencecah 80 tahun milik Persatuan Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar yang terletak di atas sebuah tanah milik persendirian pada Khamis, 11 Januari 2018 yang lalu.

Kenyataan bersama PH Johor yang diwakili Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin;Aminolhuda Hassan (Pengerusi AMANAH Negeri);Hassan Kari (Pengerusi PKR Negeri) dan Liew Chig Tong (Pengerusi DAP Negeri)

PH Johor berpendapat kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar Datuk Seri Mohd Khaled Noridin hanyalah membuktikan beliau tidak cermat menangani kepentingan apatah lagi sensitiviti masyarakat berbilang kaum khususnya masyarakat India di Johor.

“Beliau juga sebagai seorang ketua eksekutif negeri Johor telah meletakkan imej negeri ini pada sudut yang paling lemah dalam menyantuni sensitiviti serta sosiobudaya masyarakat pelbagai kaum dan agama seiring runtuhnya kuil Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar yang cukup ironi terletak dalam kawasan lingkaran kuasa politik beliau selaku Ketua Bahagian Umno dan Pengerusi BN Pasir Gudang,” ujar kenyataan itu.

Mohamed Khaled Nordin
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Khaled dalam kenyataannya berkata, Kerajaan Negeri sejak awal telah memperuntukkan sebidang tanah tertentu sebagai gantian kepada lokasi asal kuil tersebut tidak wajar menjadi alasan untuk menutup kegagalan beliau menangani sensitiviti rakyat, kata PH Johor.

“Khaled sebagai seorang ketua kerajaan negeri sepatutnya memahami signifikannya masyarakat India beragama Hindu dengan kuil sebagai rumah ibadat mereka.

“Melalui insiden ini, jelas sekali Khaled gagal menjadi seorang menteri besar yang berdiri untuk seluruh rakyat Johor pelbagai bangsa dan agama.

“Kami berpendapat, sikap Khaled yang seolah-olah berlepas tangan dalam hal ini adalah amat bahaya terhadap kerukunan bangsa Johor untuk jangka masa panjang. Sebagai seorang bergelar Menteri Besar, Khaled tidak boleh berasa ‘cukup’ sekadar menuding jari kepada pihak tuan tanah mahupun kuil dengan beranggapan Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan yang sepatutnya dengan menawarkan lokasi gantian.

“Beliau sepatutnya bertindak awal memainkan peranan yang lebih dan insiden perobohan kuil Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar di Masai yang membangkitkan kemarahan masyarakat India beragama Hindu ini tidak sepatutnya berlaku,” ujar kenyataan itu lagi.

JusteruPakatan Harapan Johor melahirkan kebimbangan insiden ini akan menjadi precedent bagi insiden-insiden yang lain di Johor akibat kurangnya sensitiviti serta lemahnya kepemimpinan seorang Menteri Besar.

Pada Sabtu, Khaled dalam kenyataan balas mengenai insiden perobohan kuil berkenaan dipetik berkata, Berdasarkan rekod Kerajaan Negeri, kuil yang dirobohkan tersebut didirikan di atas tapak Milik Persendirian di Lot 4907, Mukim Plentong, berdekatan Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam, Masai. Pemilikan tanah tersebut didaftarkan pada tahun 1995.

Walaupun kuil ini didaftarkan pada tahun 2007, namun ianya dibina tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik sah tanah tersebut dan ia dilihat sebagai satu kes pencerobohan.

Cadangan penyelesaian segera yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri pada ketika itu adalah dengan menawarkan sebidang tanah baharu milik Kerajaan Negeri sebagai tapak gantian kepada tapak kuil dalam isu ini.

Namun, cadangan tersebut tidak dipersetujui dan ditolak oleh pihak pengurusan kuil yang berkeras untuk kekal berada di atas tapak milik persendirian tersebut, sekali gus menyebabkan isu ini terus berlarutan.

Susulan daripada itu, pemilik tanah telah menggunakan saluran undang-undang bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan beliau berkuasa sepenuhnya atas tanah milik beliau.

Kemuncak kepada keputusan oleh pihak kuil yang mahu kekal di atas tanah tersebut dan tidak bersetuju untuk berpindah, kuil tersebut akhirnya dirobohkan oleh pemilik tanah tersebut selepas beliau mendapatkan perintah mahkamah pada 31 Julai 2017