Malaysia Dateline

Perobohan rumah Paya Jaras akhirnya ditangguhkan sehingga 16 Sept

Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa hari ini bersetuju untuk menangguhkan projek pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir dan menunda untuk merobohkan perumahan di kawasan tersebut sehingga 16 September depan.

Ia susulan permohonan penduduk kawasan Paya Jaras yang meminta untuk melanjutkan notis pengosongan rumah di kawasan tersebut yang dijadualkan bakal dirobohkan pada hari esok, 5 September.

Perbincangan secara tertutup yang dilakukan antara ahli jawatankuasa Paya Jaras bersama Sivarasa dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hari ini, menetapkan tarikh berkenaan sebagai tarikh sementara sebelum keputusan muktamad dibuat.

Menurut Sivarasa, perbincangan bersama Menteri Besar Selangor akan dilakukan pada Selasa hadapan bagi mencapai kata putus kepada tuntutan penduduk yang meminta penangguhan sehingga December tahun ini.

“Melalui perbincangan hari ini, kita akan menangguhkan segala tindakan sehingga 16 September. Minggu depan, pada hari Selasa, kita akan berbincang semula dengan Menteri Besar yang sekarang ini berada di luar negara.

“Penduduk yang terlibat juga diberi pampasan berupa tawaran rumah Selangorku yang bakal siap pada tahun 2021. Mereka akan diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah berkenaan.

“Jadi kita akan cuba selesaikan isu ini selepas berbincang dengan MB Selangor minggu hadapan. Apa-apa pun projek ini akan diteruskan,” katanya kepada pemberita di hadapan Bangunan SUK Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Sivarasa memaklumkan, projek pelebaran sungai tersebut telah ditangguhkan sebanyak dua kali iaitu kali pertama pada tahun 2015 dan kali kedua pada tahun 2017.

Oleh kerana itu jelasnya, projek tersebut tidak boleh ditangguhkan ke masa yang lebih panjang disebabkan isu banjir yang sering berlaku dikawasan tersebut.

“Penduduk faham tak boleh duduk dikawasan tersebut yang berdekatan dengan tebing sungai. Tapi isunya dari segi perikemanuasiaan kerana mereka perlu masa munasabah untuk berpindah dan melakukan persiapan mencari rumah sementara,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa bertindak, Azroy Abdul Manaf berkata, hampir 100 buah rumah yang terlibat bakal dirobohkan dan berharap kerajaan untuk memberi tempoh masa sehingga December kepada mereka untuk berpindah.

“Sebagai penduduk, kami tak minta projek ini dibatalkan. Malah kami berlapang dada menerima keputusan kerajaan. Cuma kami menuntut supaya kerajaan negeri menunda tarikh roboh rumah kerana nak beri penduduk waktu terbaik untuk berpindah dari rumah.

“Buat masa ini, kerajaan negeri beri tawaran rumah Selangorku yang dijadualkan siap pada tahun 2021. Selain dari itu, tiada penempatan sementara, dan tiada pampasan seperti wang ringgit atau wang sewa rumah. Kami tak minta pampasan rumah sewa sementara, cuma minta tangguhan untuk bangunan plot A sampai D.

“Penduduk juga menerima tawaran rumah tersebut kerana bagi kami yang duduk di tanah milik kerajaan, kita terpaksa terima. Bagi yang ada geran sendiri pula, akan ada perbincangan lanjut dibuat nanti,” jelasnya.