Malaysia Dateline

Perodua daftar calon pertama untuk VIMS

Perodua telah mendaftarkan calon pertamanya bagi kursus Sistem Pengurusan Pemeriksaan Kenderaan (VIMS) rasmi yang pertama di Malaysia ditawarkan di Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) di Rawang, dekat sini.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin berkata kursus itu akan meliputi analisis tepat mengenai keadaan kenderaan terpakai atau tukar beli bagi menentukan bahagian mana di luar atau dalam kenderaan yang memerlukan penggantian atau pembaharuan.

“Kursus ini dijalankan oleh AucNation Sdn Bhd secara usaha sama dengan Automobile Inspection System Inc. Jepun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahari berkata Perodua memuji MARii kerana membawa inisiatif itu ke Malaysia berikutan keseluruhan industri automotif akan mendapat faedah daripada kaedah standard ditetapkan untuk menilai kenderaan.

“Bagi Perodua, mempunyai penilai diakui oleh kerajaan yang akan mengukuhkan perniagaan kenderaan pramilik kami, pelanggan kami akan diberi jaminan prosedur itu mengikut standard antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata kursus ditawarkan oleh AucNation itu terbuka kepada semua pengeluar peralatan tulen dan individu yang berminat untuk mendapatkan pengetahuan berkaitan pasaran kenderaan terpakai yang lebih cekap dan seragam.

“MARii percaya dengan adanya sebuah badan bebas yang menilai keadaan kenderaan pramilik secara saintifik dan objektif, mampu menentukan kelayakan kenderaan untuk berada di jalan raya dengan lebih tepat.

“Ini seterusnya akan mencorakkan inisiatif selanjutnya bagi menentukan jangka hayat kenderaan untuk kebaikan semua rakyat Malaysia,” katanya.

— BERNAMA