Perodua serah 100,000 unit Perodua Myvi sejak Nov 2017

Perodua serah 100,000 unit Perodua Myvi sejak Nov 2017

Perodua mencatat satu lagi kejayaan menerusi penyerahan 100,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga kepadapelanggannya.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin berkata sejak pelancaran generasi ketiga Perodua Myvi pada November 2017, pembuat kereta nasional kedua itu berjaya menyerahkan lebih 100,000 unit, dengan purata lebih 1,560 unit seminggu.

“Sebahagian besar maklum balas pelanggan adalah positif, dengan majoritinya sukakan gaya, praktikal, mudah dipandu serta kos penyelenggaraan yang rendah, ruang yang luas walaupun saiznya yang padat, serta ciri-ciri canggih yang biasanya hanya terdapat dalam kereta premium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Perodua Myvi adalah model paling berjaya dalam sejarah, sejak Myvi asal dilancarkan pada 2005, dalam pasaran yang didominasi model sedan ketika itu.

“Pada 2013, ia mengatasi jualan tertinggi Kancil (708,000 unit dari 1994 hingga 2009) dan setakat ini, kami telah menjual hampir 1.1 juta Myvi,” katanya.

Tempahan untuk Myvi generasi ketiga telah mencapai 150,000 unit secara terkumpul, dan Perodua terus berusaha gigih untuk memenuhi tempahan secepat mungkin.

Perodua mengakhiri 2018 dengan menjual 227,243 kereta, menjadikannya pembuat kereta terkemuka Malaysia bagi tahun ke-13 berturut-turut. Syarikat itu menjual hampir 3.5 juta kereta sejak 1994.

— BERNAMA