Perolehan pukal ubat-ubatan dikaji atasi monopoli, kata Menteri Kesihatan

Perolehan pukal ubat-ubatan dikaji atasi monopoli, kata Menteri Kesihatan

Kementetrian Kesihatan sedang mengkaji kemungkinan untuk melaksanakan mekanisme perolehan secara pukal bagi ubat-ubatan yang perlu untuk menangani isu monopoli yang boleh menyebabkan peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan kepada hospital-hospital kerajaan di seluruh negara.

Menterinya Dr Dzulkefly Ahmad berkata konsep perolehan pukal bagi farmaseutikal dapat meningkatkan kuasa tawar-menawar dengan pembeli dan dengan itu dapat menyaksikan penurunan harga ubat-ubatan.

“Kalau kita buat perolehan ubat secara pukal, kita akan mempunyai kuasa ‘bargaining’ dan ‘negotiation’ yang lebih baik dan kos ubat-ubatan akan turun,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ceramah bertajuk ‘Rakyat Sebagai Tenaga Untuk Negara’ di Kumpulan Media Karangkraf semalam.

Dzulkefly sebelum ini berkata langkah untuk mengkaji semula semua perjanjian konsesi sedia ada kepada hospital kerajaan adalah untuk mengoptimumkan rantaian bekalan dan memastikan situasi ‘menang-menang’ bagi semua pihak yang terlibat.

“Kontrak tersebut, semuanya sedang dikaji semula, dalam usaha untuk mencapai pengoptimuman rantaian bekalan dan untuk mendapatkan nilai yang lebih baik. Kerajaan komited untuk mencapai ini,” beliau dilaporkan berkata.

Mengenai soalan sama ada kerajaan bercadang untuk mendapatkan perolehan ubat-ubatan dan bahan habis buang terus dari pengilang atau pembekal untuk menangani isu monopoli, beliau berkata kementerian sedang meneliti perkara itu.

Sebelum ini, Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujudnya monopoli dalam pemberian tender pembekalan ubat-ubatan kepada Kementerian Kesihatan dari 2013 hingga 2016.

Beliau juga menyerahkan 13 dokumen setebal 150 muka surat yang mengandungi nama pemimpin politik, pegawai kanan Kementerian Kesihatan dan individu yang mempunyai hubungan denghan ahli politik yang dipercayai menjadi ejen atau orang tengah bagi tiga syarikat farmaseutikal.

Dzulkefly berkata kementerian mengalu-alukan siasatan SPRM mengenai perkara itu.

CATEGORIES