Malaysia Dateline

Perpaduan di bawah panji Harapan

Pada 16 Mei 2018, iaitu seminggu selepas kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan politik yang sah.

Kelulusan itu dilihat sebagai satu simbolik kebersamaan parti-parti komponen dalam PH yang sebelum ini terpaksa bertanding menggunakan logo PKR pada PRU-14 kerana PH gagal didaftarkan.

Penggunaan logo pakatan itu yang bermula di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan PRK DUN Seri Setia membuktikan wujud kesepakatan politik antara empat parti asal gabungan itu.

Logo yang pertama kali diperkenalkan pada 2017 tersebut, menampilkan huruf A yang menjadi anak panah — mewakili harapan. Justeru, PH diibaratkan sebagai satu gabungan yang di atas bahunya terpikul harapan rakyat yang menginginkan Malaysia yang lebih baik. Di atas bahu sama juga tergalas mandat rakyat yang diberikan pada PRU-14.

Logo PH menampilkan huruf A yang menjadi anak panah mewakili harapan

Sehubungan itu, logo tersebut perlu terus dijadikan medium penyatuan antara parti-parti dalam PH. Ia adalah satu perlambangan teguh tentang peri pentingnya satu panji atau tanda kebersamaan PH dalam menyusur gelora politik di negara ini.

PH yang kini terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah perlu membulatkan iltizam untuk bersama bergerak sederap, senada dan sehati dalam membawa suara rakyat. Bersama rakan-rakan dalam PH Plus terus memartabatkan aspirasi rakyat.

Biar pelbagai dugaan dan cabaran datang, kesatuan PH perlu kekal kukuh. Parti-parti dalam gabungan PH perlu terus mempermantapkan komunikasi, mempersiap koordinasi jentera pilihan raya dan gerak kerja sebagai satu pasukan.

Keunikan kerjasama dalam PH perlu diangkat oleh parti-parti komponen. Berbeza dengan gabungan politik lain, PH bergerak di atas kerjasama politik setara dan setiap keputusan dilakukan secara konsensus.

Oleh itu, kerjasama ini perlu juga dipacu dengan rasa saling menghormati, bertolak ansur dan saling mempercayai.

Menjelang PRU-15, perpaduan PH mesti berada pada tahap tertinggi. Semua pihak terlibat perlu mencari formula terbaik untuk menjamin keutuhan kesepakatan dalaman PH. Semua parti yang berseteru dengan Perikatan Nasional (PN) perlu berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk bersama-sama membawa suara rakyat.

Terus berjuang untuk meringankan beban rakyat, menggerakkan proses reformasi institusi secara menyeluruh dan memerangi rasuah hingga akar umbi, nescaya rakyat akan terus memberi mandat kepada PH.