Perpaduan kaum terus diraikan melalui sambutan perayaan, kata Adun Maharani

Perpaduan kaum terus diraikan melalui sambutan perayaan, kata Adun Maharani

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Maharani, Norhayati Bachok berkata perpaduan dapat dieratkan melalui sambutan hari perayaan bagi pelbagai lapisan kaum di negara ini.

Beliau berkata,peluang sambutan hari perayaan perlu diambil bagi mengenali budaya bangsa lain dan mengukuhkan perpaduan bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan di negara ini.

“Ini adalah peluang kita mendekati masyarakat yang berbangsa selain dari bangsa kita. Selama ini gerak kerja kita mendekati bangsa lain telah berjaya mempertahankan perpaduan kaum di negara ini.

Norhayati Bachok

“Terkadang sebahagian dari kita banyak mempertikaikan berkenaan dengan kelemahan bangsa selain kita namun sebagai masyarakat yang sama-sama hidup di negara ini kita perlu menjaga keamanan dan kesejahteraan hidup dalam berbilang kaum.

“Hubungan baik sesama kaum perlu diteruskan bagi membawa kesinambungan hidup bermasyarakat,” ujar beliau ketika dihubungi.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa sambutan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan pada 5 Februari depan amatlah bermakna kerana beliau buat pertama kalinya menyambut perayaan tersebut sebagai seorang wakil rakyat.

“Sambutan kali ini berlainan sedikit kerana sebelum ini kita menyambutnya sebagai seorang aktivis masyarakat dan kali ini kita menyambutnya sebagai seorang pemimpin di Dun ini.

“Pastinya cabaran memenuhi permintaan rakyat khususnya di Dun Maharani adalah perkara yang utama. Selain mendengar pelbagai luahan mengenai permasalahan mereka untuk dikemukakan.

“Saya berhasrat untuk melakukan yang terbaik bagi menjaga keharmonian perpaduan antara kaum serta membawa masalah rakyat ke peringkat yang lebih tinggi seperti dalam sidang Dun,” ujarnya lagi.

Program tersebut turut diraikan oleh Ketua Kawasan AMANAH Muar, Abu Bakar Lajat dan beberapa NGO di daerah Muar.

Program yang bermula seawal 7:00 pagi itu telah diisikan dengan aktiviti pemberian buah limau serta ang pow kepada seramai 755 orang murid serta 60 orang guru dan staf di sekolah berkenaan.