Malaysia Dateline

#KoyakIsrael: Perpaduan paling penting kembalikan hak Palestin

Tahap perpaduan rakyat Palestin dalam memerangi keganasan rejim Israel pada masa sekarang jauh berbeza berbanding sebelum ini, kata Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berpendapat kesepakatan ini paling mustahak kerana sejarah perjuangan menentang penjajah menyaksikan hanya perpaduan sebenar menjamin kejayaan.

“Bagi saya, bukan soal berapa peluru berpandu yang mampu dihantar oleh Hamas (Pergerakan Perjuangan Islam Palestin) dan Jihad Islam ke Israel tetapi saya melihat tahap perpaduan antara mereka sekarang.

“Biasa berlaku apabila Israel menyerang Gaza, tempat-tempat lain (di Palestin) mendiamkan diri tetapi sekarang demonstrasi muncul di seluruh Palestin termasuk kawasan-kawasan yang dikuasai Israel.

“Rakyat di Palestin keluar tunjuk perasaan sama ada di Haifa dan di bandar-bandar lain. Sudah nampak kesatuan ummah.

“Perpaduan inilah yang paling penting, senjata nombor dua,” tegas Mohamad dalam Ceramah Mega #KoyakIsrael anjuran AMANAH yang bersiaran secara langsung selama 2 jam 30 minit malam tadi.

Bekas Menteri Pertahanan berkenaan berpendapat kesatuan rakyat Palestin pada masa ini bertambah baik tanpa mengira aliran kanan mahupun kiri, sama ada pihak Fatah, Hamas dan Jihad Islam.

“Sekarang kita telah nampak kesatuan. Semuanya kita lihat sudah ada kata sepakat iaitu bumi Palestin mesti dibebaskan,” katanya dalam program yang melibatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH), badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil Palestin di Gaza itu.

Untuk rekod, serangan Israel yang berlaku pada penghujung Ramadan lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 219 orang maut di Gaza termasuk 63 kanak-kanak dengan lebih 1,500 cedera.

Sejak 10 Mei lalu, rejim Zionis menambah operasi ketenteraan termasuk ke sempadan Semenanjung Gaza menyebabkan wilayah itu berterusan dihujani serangan udara dan tembakan roket.

Israel yang sebelum ini disiasat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas tuduhan jenayah perang mendakwa serangan udara itu dilakukan dengan alasan kononnya mahu menghentikan serangan balas roket yang dilancarkan oleh Hamas.

Serangan ketika pandemik Covid-19 sedang ganas membadai dunia ini dikatakan sebagai kali keempat dalam tempoh 12 tahun Israel dan Hamas terlibat dalam pertempuran yang paling sengit.

Mohamad Sabu

Sokongan masyarakat antarabangsa

Selain itu, Mohamad menyifatkan perubahan kesedaran masyarakat antarabangsa termasuk dengan berarak di jalan raya memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin juga semakin meningkat.

“Kita lihat juga perubahan yang berlaku di dunia. Sekarang kita lihat perubahan rakyat di negara Eropah dalam membela rakyat Palestin.

“Tunjuk perasaan membela Palestin bukan berlaku di Mekah atau Madinah tetapi berlaku di London, Jerman, Sepanyol bahkan di New York, orang Yahudi dan pendetanya turun bersama rakyat Palestin.

“Masyarakat antarabangsa mengutuk jenayah ‘apartheid’ Israel yang menganyang rakyat Palestin yang tertindas.

“Di United Kingdom, ahli-ahli Parlimen dari Parti Buruh bercakap begitu keras membela rakyat Palestin. Begitu juga di Ireland dan negara-negara lain di Eropah mengutarakan pandangan mereka supaya rakyat Palestin mesti dibebaskan,” ujarnya.

Malah, ujarnya, negara-negara berhaluan kiri seperti Cuba, Venezuela dan Korea Utara amat keras menentang keganasan rejim Zionis.

“Negara-negara Arab yang berhaluan kiri juga lebih jauh membela Palestin seperti Tunisia dan Algeria.

“Yaman contohnya, di tengah-tengah kemiskinan, mereka keluar tunjuk perasaan puluhan ribu orang untuk menyatakan sokongan mereka kepada rakyat Palestin,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berpendapat pembebasan bumi Palestin daripada penaklukan Zionis akan berlaku tidak lama lagi hasil kesepakatan pelbagai pihak.

“InsyaAllah, tidak lama lagi dengan perpaduan yang ada ini. Sebaliknya, kita kesal di sesetengah negara Arab, mereka masih berkiblatkan kepada Washington dan London seolah-olah mereka berbaiah hampir setiap tahun.

“Mereka inilah yang bukan sahaja mengiktiraf Israel bahkan menekan negara-negara Islam yang miskin supaya mengiktiraf Israel dengan menggunakan wang ringgit serta kekuatan mereka,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau yakin majoriti rakyat di negara-negara Arab tidak bersikap seperti sebahagian pemimpin mereka.

“Kadang kala kita malu melihat orang Islam tidak sampai ke tahap seperti rakyat dan negara di Eropah.

“Namun, saya percaya rakyat Mesir, Arab Saudi, Kuwait, Bahrin. Mereka semua bersama dengan perjuangan rakyat Palestin sekarang ini walaupun pemerintah mereka masih lagi atau sedang pun berusaha mengajak orang lain mengiktiraf Israel,” ujarnya.

Menentang habis-habisan

Dalam masa sama, Mohamad memberi kata dua kepada kerajaan Malaysia yang minggu lalu menyokong Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’.

“Saya memberi amaran, jangan Malaysia cuba mengiktiraf kewujudan Zionis Israel ini. Kami rakyat akan bangun menentang habis-habisan,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan perjuangan untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel bukan hanya dilakukan oleh Muslim sahaja memandangkan ada kalangan pemimpin Palestin juga terdiri daripada kalangan bukan beragama Islam.

“Sekarang ini perjuangan Palestin sudah sampai ke penghujung. Yakinlah kemenangan itu hampir.

“Sekarang, perjuangan rakyat Palestin ialah kalau ‘kamu (Zionis Israel) buat itu, kami boleh lakukan ini’ kerana punca sebenar kemenangan ialah perpaduan,” ujarnya.

Bahkan, Mohamad mengulangi keyakinannya bahawa kemenangan Palestin adalah hampir kerana baginya golongan yang tertindas itu selamanya tidak akan tertindas.

“Golongan mustakbirin (angkuh) tidak akan selamanya berkuasa. Kesombongan mereka akan tamat di Palestin. Kita lihat rakyat yang terusir akan kembali ke tanah air mereka.

“Hak untuk rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka akan tercapai, InsyaAllah,” tegas Mohamad lagi.