Malaysia Dateline

Perpaduan ummah hanya retorik politik, kata Pemuda AMANAH Perlis

Jalinan Perpaduan Ummah antara Pas dan Umno hanyalah retorik politik semata-mata, kata Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perlis, Mohd Khomeini Halipah.

Beliau berkata, ini jelas terbukti dengan pembahagian kerusi exco, apa yang telah dicanang-canangkan oleh kedua-dua parti tersebut tidak mudah untuk direalisasikan apabila ia melibatkan kuasa dan pemerintahan.

Mohd Khomeini Halipah

“Apabila ia melibatkan kuasa, kedudukan dan tampuk pemerintahan, agak sukar bagi mereka merealisasikannya.

“Masing-masing belum mampu untuk berkongsi kuasa seolah-olah memperlihatkan kerapuhan penyatuan antara kedua-dua parti tersebut.

“Ia juga memperlihatkan bagaimana Pas sebenarnya takut dan bimbang untuk melepaskan kuasa exco di Kelantan dan juga Terengganu, ” ujarnya mengulas mengenai tawaran kerusi exco oleh kerajaan negeri Perlis sepertimana yang didedahkan oleh Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kata Khomeni lagi, tidak dapat dinafikan penolakan tawaran kerusi exco tersebut akan menyebabkan wujudnya perpecahan yang lebih parah antara kedua-dua parti tersebut.

Tuan IbrahimĀ  sebelum ini mendedahkan bahawa Pas menolak tawaran kerusi exco oleh kerajaan negeri Perlis.

Namun begitu tegasnya, polisi dan dasar kerajaan negeri Perlis dan Pahang akan tetap disokong seperti sokongan yang diberikan kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu.