Perpaduan Umno-Pas penting dikaji

Perpaduan Umno-Pas penting dikaji

Imam Besar Masjid al-Aqsa, Palestin, Syeikh Dr Ekrima Sa’eed Sabri dalam wawancara akhbar Mingguan Malaysia hari ini menyifatkan perpaduan Umno dan Pas sebagai penting.

Beliau berpendapat perpaduan kedua-dua parti politik itu adalah signifikan dan dilihat menjadi perintis kepada permuafakatan umat Islam.

“Perpaduan yang ada dalam kalangan umat Islam di Malaysia juga telah menjadi titik tolak kepada perpaduan umat Islam keseluruhannya.

“Dalam konteks politik di Malaysia seperti perpaduan yang sepatutnya wujud antara parti Umno dan Pas ia juga merupakan suatu perkara yang amat penting untuk dikaji serta dilaksanakan,” ujarnya yang telah kali kelima berkunjung ke Malaysia.

Dr Ekrima dipetik berkata demikian apabila diajukan soalan, “apakah kerjasama dalam kalangan parti politik boleh menjadi pemangkin perpaduan ummah seperti kerjasama antara Umno dan Pas di Malaysia?”

Umno dan Pas dilihat semakin berbaik menjelang PRU14.

Beliau yang ditemubual Mingguan Malaysia sewaktu berada di ibu negara baru-baru ini memberitahu perpaduan Umno dan Pas dilihat membuka kepada lebih banyak usaha termasuk memerdekakan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis.

“Kekuatan itulah juga yang boleh digunakan ke arah yang lebih luas termasuk membantu membebaskan Masjid al-Aqsa suatu hari nanti,” ujarnya lagi.

CATEGORIES