Malaysia Dateline

Perpecahan Bersatu, Umno belum jadi peluang emas PH

Selepas Umno sekali lagi menegaskan keputusan untuk bercerai dengan Bersatu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, persoalan yang tercetus adalah kemampuan parti pimpinan Muhyiddin Yassin untuk memastikan kelangsungannya dalam lanskap politik.

Biarpun senario semasa menampakkan Bersatu kini berada pada keadaan genting dan hampir menemui jalan mati tetapi dalam politik segalanya adalah bergantung kepada kemampuan bermain masa. Muhyiddin dan Bersatu kini memiliki kelebihan dari segi kuasa dan kewangan.

Memang jika diukur dari segi kuantiti ahli, Bersatu ketinggalan berbanding Umno dan Pas. Tetapi setakat kini, Pas adalah sekutu yang masih memberikan kepercayaan untuk bersama dengan Bersatu sehingga PRU depan. Umno pula dilanda perpecahan dalam antara kluster mahkamah dan kluster menteri.

Diyakini perpecahan yang berlaku ini memberikan sedikit ruang kelegaan kepada Bersatu untuk terus mengasak Umno supaya tunduk dan patuh kepada telunjuk Muhyiddin agar tidak menjadi ancaman yang mengganggu peluang merebut kemenangan dalam PRU.

Kepimpinan Umno pula jika dilihat ketika ini menghadapi krisis kepercayaan dalam kalangan ahli.

Keberanian segelintir pemimpin atau menteri Umno yang menggesa diadakan pemilihan parti dalam tempoh terdekat boleh dianggap sebagai mencabar Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden Umno.

Kluster mahkamah

Beliau yang dilabelkan sebagai kluster mahkamah bersama Najib Razak merupakan penciptaan naratif bagi meruntuhkan imej wibawa yang dimiliki mereka semasa dalam pentadbiran negara sebelum ini.

Najib tanpa berselindung juga kerap melakukan serangan secara terang-terang atau sindiran terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Malangnya, walaupun dilihat masih popular berdasarkan kepada bilangan ‘suka’ dan perkongsian yang diterima di laman Facebook, tetapi label ‘kluster mahkamah’ seperti mengikat kaki dan tangan beliau untuk menjadi jaguh dalam memperjuangkan masalah rakyat.

Tindakan Najib untuk mencari populariti dan publisiti dengan merelakan dirinya dikompaun kerana tidak mematuhi SOP ketika memasuki sebuah premis makanan dianggap sebagai percubaan yang agak janggal dan gagal menaikkan imej yang konon merakyat.

Zahid Hamidi pula dalam ucapan semasa PAU dilihat membuat serangan tumpul terhadap Umno manakala gesaannya secara tidak langsung agar Pas bersama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) untuk menghadapi PRU seperti tidak disambut dengan baik.

Seperti difahami umum, Pas bukanlah rakan sekutu yang sesuai untuk dijalinkan hubungan baik untuk satu tempoh yang panjang.

Sikap pemimpinnya yang kerap dan gemar berdalih dengan menggunakan dalil agama menggambarkan betapa mereka mementingkan kuasa.

Ketika ini, istilah ‘perpaduan ummah’ dijadikan sandaran penting sebagai alasan untuk tidak berpisah baik dalam MN mahupun Perikatan Nasional (PN).

Tentunya berpisah dengan Bersatu dan PN bukan pilihan terbaik untuk Pas kerana hampir semua para pimpinannya telah diberikan ganjaran dalam bentuk jawatan, pangkat dan elaun yang lumayan.

Ketandusan dalil 

Berpisah dengan Umno pula mudah dilaksanakan tetapi agak sukar kerana suara akar umbi Pas ketika ini yang agak keliru dengan pendirian para pemimpinnya.

Berbeza dengan pendirian untuk berpisah dengan Pakatan Rakyat (PR) atas alasan DAP menghalang usaha untuk melaksanakan hudud, kali ini, Pas agak ketandusan dalil untuk berpisah sama ada dengan Bersatu mahupun Umno.

Hal ini demikian kerana, Bersatu dan Umno disekutukan dengan Pas atas dalih (bukan dalil) ‘perpaduan ummah’, ‘persaudaraan muhajirin dan ansar’ dan sebagainya.

Alasan sebegini memang mudah dijadikan umpan untuk menghalalkan kerjasama politik sempit atas semangat perkauman dan ahli Pas pula memang mudah menerima pakai alasan yang diberikan oleh pimpinan.

Secara umumnya, PH hakikatnya masih berhadapan laluan sukar untuk kembali menguasai mandat rakyat bagi membentuk sebuah kerajaan yang baharu.

Situasi yang dilihat mudah menang ada kalanya merupakan rencana pihak musuh supaya lawannya leka dan lalai daripada melakukan persiapan jentera secara terperinci.

Untuk kesekian kalinya, PH harus melaksanakan lebih banyak kempen dan serangan yang lebih besar impaknya bagi mengalih semula kepercayaan dan undi rakyat kepada PH dalam PRU nanti.