Malaysia Dateline

Perpecahan calon BN + PN untungkan Warisan, kata Ilham Centre

Selepas seminggu berkempen secara rasmi, kajian pusat kajian pilihan raya Ilham Centre mendapati, pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) serta rakan-rakannya sesama sendiri telah menyebabkan Warisan Plus pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal mendapat keuntungan.

Bahkan, kini kempen Shafie dalam pilihan raya negeri Sabah telah mendapat momentum yang besar apabila sambutan diberikan dengan hangat oleh pengundi ke mana sahaja beliau pergi.

Sehubungan dengan itu, berdasarkan kajian Ilham Centre, Warisan dijangka akan mendapat lebih kerusi berbanding dengan yang diperolehi parti itu dalam pilihan raya yang lalu.

Sesetengah pengkaji dan pemerhati politik meletakkan Warisan Plus akan mendapat sehingga 60 peratus kerusi dalam PRN kali ini.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei 2018 lalu, Warisan mendapat 29 kerusi iaitu sama banyak dengan BN yang juga mendapat 29 kerusi manakala dua kerusi lagi dimenangi oleh Parti Solidariti Rakyat Sabah (Star) daripada 60 kerusi yang dipertandingkan.

Dalam PRN kali ini, 73 kerusi akan menjadi rebutan di kalangan parti-parti yang bertanding.

“Saya dan pasukan dah bergerak ke seluruh Sabah sejak sebelum hari penamaan calon. Bagi kami faktor calon paling utama dalam pilihan raya ini.

Masalah besar yang dihadapi oleh BN dan PN serta rakan-rakan mereka adalah calon-calon mereka berasal dari satu sumber yang sama sebelum ini iaitu pemimpin atau calon BN dalam pilihan raya sebelum ini. Apabila mereka bertembung sesama sendiri, Warisan yang untung, kata Hisomuddin.

“Ia berpunca dari tindakan lompat parti oleh wakil rakyat sebelum ini dan pertembungan banyak parti-parti dalam pilihan raya kali ini.

“Bila yang bertanding pula ramai dan kebanyakan berasal dari BN, maka Warisan yang paling untung dalam suasana ini,” kata kata Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar kepada Malaysia Dateline.

Ilham Centre juga memecahkan lima kluster pengundi dalam PRN Sabah ini iaitu Sabah Timur, Sabah Utara, Sabah Tengah, Sabah Selatan dan Kadazan Dusun dan Murut (KDM).

“Kelima-lima kluster ini mempunyai sentimen yang berbeza antara satu sama lain,” kata Hisomuddin lagi selepas menjelajah seluruh Sabah.

Masalah besar yang dihadapi oleh BN dan PN serta rakan-rakan mereka adalah calon-calon mereka berasal dari satu sumber yang sama sebelum ini iaitu pemimpin atau calon BN dalam pilihan raya sebelum ini.

“Apabila mereka berpecah dan bertembung antara satu sama lain, menyebabkan undi kepada mereka juga berpecah. Lagi sekali calon Warisan yang akan mendapat undi paling banyak,” katanya.

Kajian Ilham Centre juga mendapati, oleh kerana faktor calon paling utama dalam pilihan raya ini, bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang bertanding atas tiket Parti Cinta Sabah (PCS) di Bongawan mempunyai kelebihan berbanding calon-calon lain.

Bagaimanapun, undi beliau akan berpecah dengan calon BN yang turut bertanding dan ia boleh menguntungkan calon Warisan.

Anifah akan menentang penyandang kerusi ini, Dr Daud Yusuf daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) selain Ag Syairin daripada Barisan Nasional (BN) dan Mohd Azree Abd Ghani daripada Parti Liberal Demokratik (LDP).

MOMENTUM KEMPENĀ 

Sementara itu, seorang veteran Umno menjangkakan, BN dan PN hanya akan mendapat 40 peratus undi dan kerusi sahaja dalam PRN Sabah kali ini.

“Sehingga hari ini, jika Umno mendapat 15 kerusi, ia sudah cukup bertuah.

“Saya telah dimaklumkan oleh dua sumber yang berbeza; satu kata PN/BN akan mendapat 40 peratus kerusi. Satu lagi sumber kata PN/BN akan mendapat 28 kerusi.

“28 dari 73 kerusi bersamaan dengan 40 peratus,” kata bekas seorang menteri besar Umno itu dalam satu kumpulan whatsapp.

Sebelum ini, bekas pemimpin Umno ini berkata, tindakan mengenepikan 20 ketua bahagian Umno yang bersama Datuk Abdul Rahman Dahlan membantah pemilihan Bung Mokhtar Radin sebagai pengarah pilihan raya BN Sabah adalah satu malapetaka untuk BN dan bakal memenangkan Shafie.

Seorang wartawan kanan pula menulis, kempen Shafie mendapat momentum besar seminggu selepas kempen berjalan.

“Saya fikir ada gelombang untuk Warisan dan ia akan sukar untuk disekat. Dia (Shafie) berjaya menjadikan mood kempen beliau ‘Sabah untuk Sabahan’ dengan baik sekali,” kata wartawan kanan itu.

Dalam PRN Sabah kali ini, PN merangkumi parti Bersatu, Pas, Sabah STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) manakala BN mempunyai Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai sekutunya.

Warisan Plus terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, AMANAH, PKR serta UPKO.

Pengundi di Sabah akan membuang undi pada 26 September ini selepas 14 hari calon-calon berkempen setelah nama mereka disahkan sebagai calon pada 12 September lepas.