Perpecahan umat untungkan musuh Islam, kata Kamal Hassan

Musuh termasuk golongan kufur dan Zionis mendapat faedah daripada perpecahan umat Islam di nusantara yang didorong oleh penyebaran fahaman, mazhab atau aliran yang bercanggah dengan mazhab sunni di Asia Tenggara, demikian tegas Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Musuh termasuk golongan kufur dan Zionis mendapat faedah daripada perpecahan umat Islam di nusantara yang didorong oleh penyebaran fahaman, mazhab atau aliran yang bercanggah dengan mazhab sunni di Asia Tenggara, demikian tegas Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

“Zaman saya muda-muda dulu tidak ada (perpecahan) tapi perpecahan politik yang kronik pada masa ini sampai empat, lima parti menguntungkan musuh Islam.

“Sejak beberapa dekad lalu perpecahan keagamaan di rantau ini semakin ketara. Kubu Sunni di Asia Tenggara ditembusi aliran-aliran yang mengancam kestabilan sunni di rantau ini. Ini satu masalah besar dan membimbangkan umat Islam di Malaysia,” ujarnya dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia di ibu negara, malam tadi.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga menyenaraikan sekurang-kurangnya enam bentuk perpecahan pola pemikiran dan identiti budaya pada masa ini iaitu sekular humanistik, sekular liberalistik dan pluralistik serta Muslim sekular modernistik.

Tiga lagi kumpulan perpecahan nilai berkenaan ialah Muslim berfaham kemajuan secara sekular, Muslim kapitalistik iaitu mereka yang mengumpulkan kekayaan sehingga menambahkan jurang kaya miskin serta Muslim rasionalistik yang bebas membelakangkan wahyu Ilahi.

Mengulas lanjut cabaran dihadapi umat Islam dalam komuniti Asean, Mohd Kamal menyifatkan kemunculan Islamofobia Barat serta ekstremisme keagamaan seperti puak pelampau di Myanmar yang sangat anti Islam dilihat mengancam kestabilan nusantara.

“Akhir tahun ini pula, penguasaan ekonomi oleh Amerika di rantau ini melalui TPPA membawa cabaran kepada umat Islam,” katanya lagi.

Sehubungan itu, umat Islam diseru supaya mengamalkan prinsip wassatiyyah sebagai satu proses rekonstrusi peradaban yang memberi penekanan seimbang kepada keadilan dan kecemerlangan.

Beliau juga mengingatkan segala perpecahan tersebut dapat ditangani melalui kerjasama politik, agama, ekonomi, dan budaya umat Islam Nusantara serta permuafakatan seluruh NGO Muslim antarabangsa.

Turut hadir dalam majlis bertemakan, “Perpaduan Ummah Merentasi Ideologi” malam tadi ialah Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Indonesia (WAAG Indonesia), Prof Dr Muhammad Quraish Shihab yang juga Menteri Agama Republik Indonesia.

Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia yang berlangsung sehingga Jumaat ini di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur menyaksikan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal menyampaikan ucaptama  dan  peprasmiannya disempurnakan  Perdana Menteri Datuk Seri Mohd  Najib Tun Razak petang ini.

 

 

TAGS