Malaysia Dateline

Persaingan Sino-AS: Asia Tenggara yang tersepit

1. Rantau Asia Tenggara dianugerahkan tanah yang subur, perairan laut strategik seperti Selat Melaka, Lautan Hindi dan Laut Utara Natuna, antara lain. Walaubagaimanapun, rantau ini seringkali menjadi medan persaingan kuasa-kuasa besar dunia.

Malah, Josh Kurlanzick daripada Council for Foreign Relations, sebuah badan pemikir terkemuka Amerika Syarikat (AS) telah mencadangkan supaya bekas Presiden AS, Barack Obama untuk memberi penumpuan dasar luar AS ke rantau ini seperti ke negara Indonesia, Filipina dan Singapura kerana negara-negara ini mempunyai akses maritim meluas untuk pergerakan ketenteraan Indo-Pasifik negara Uncle Sam itu.

2. Rantau Asia Tenggara juga merupakan lubuk tenaga seperti fosil, minyak dan gas semula jadi, termasuk Liquified Natural Gas (LNG) yang turut menarik minat kuasa-kuasa besar.

Malah, berdasarkan data daripada International Renewable Energy Agency yang berpengkalan di Dubai, sumber tenaga boleh diperbaharui yang terdapat di rantau ini merupakan salah satu punca persaingan kuasa-kuasa besar.

International Energy Agency turut berkongsi pandangan yang sama bahawa rantau ini mempunyai ‘emas’ yang lumayan sekaligus menarik minat kuasa-kuasa besar.

3. Menurut perspektif sejarah, nilai rantau ini pada zaman kolonial terletak pada perdagangan rempah. Walaubagaimanapun, dengan sumber-sumber tenaga yang terdapat di rantau ini, ekonomi Asia Tenggara mampu untuk melonjak dua kali ganda daripada kekuatan Organization of Economic Cooperation and Development (OECD).

Walaupun laporan daripada International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia pernah meramalkan bahawa ekonomi di rantau ini akan terencat, sebelum meletusnya pandemik SARS Cov II ini lagi.

4. Oleh itu, tidak dinafikan lagi bahawa Asia Tenggara merupakan di antara rantau terpenting di dunia, walaupun dalam keadaan tidak menentu dek kerana Covid 19. Pencarian anekdot ringkas atas talian menerusi Google dapat menceritakan betapa pentingnya rantau ini kepada dunia.

5. Selain daripada perebutan kuasa di rantau ini kerana sumber tenaga yang ada, Asia Tenggara turut menyaksikan satu lagi perebutan geopolitik – Greater Mekong Region (GMR).

Menurut sarjana Kavi Chongkittavorn daripada International Strategic and International Studies berpusat di Universiti Chulalongkorn, GMR – yang bermula di Wilayah Yunna, China, memberi impak secara langsung kepada negara-negara yang bergantung kepada sungai Mekong seperti Cambodia, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam. Malah, jika empangan hidro elektrik disiapkan sepenuhnya di sungai Mekong, ia akan memberi implikasi besar kepada beberapa negara seperti disebut di atas.

6. Melangkaui sumber-sumber yang ada di rantau ini, masyarakat media dunia seringkali memberi penumpuan kepada pertembungan di antara China dan AS yang berkaitan dengan Laut China Selatan, sebuah laluan strategik maritim yang mencatatkan USD 5 trillion nilai laluan perdagangan.

7. Malah, jika dua kuasa besar ini sering bertembung, peperangan berpotensi untuk berlaku seperti mana diungkapkan oleh Graham Allison daripada Universiti Harvard yang merujuk kepada ‘Thucydides Trap’ dimana bandar-bandar Greek dan Sparta telah lalui sekitar 250 B.C.

8. Oleh yang demikian, persoalan penting adalah mengapa situasi yang pernah berlaku ribuan tahun dahulu di Eropah, boleh terjadi semula di dalam bentuk pertembungan Sino-AS?

Graham Allison, walaubagaimanapun, berpendapat bahawa pertembungan kuasa tidak semestinya akan mengakibatkan peperangan berlaku jika terdapat pertimbangan teliti dan kebijaksanaan dasar. Pendapat ini turut dikongsi oleh Declan Sullivan, seorang penggemar penganalisis hasil kerja Graham Allison seperti The Strategy Bridge.

9. Walaubagaimanapun, konflik di antara China dan US tidak sesuai di sama ertikan dengan ‘Thucydides Trap’ semata-mata. Tetapi bagaimana China kini mampu mengembangkan ekonominya 20 tahun lepas dengan bantuan AS sendiri (lebih tepat adalah bekas Presiden Bill Clinton), apabila China menyertai World Trade Organization (WTO).

10. Hubungan dua hala diantara China dan AS yang merudum boleh dikaitkan dengan tingkah laku China di Laut China Selatan serta kecenderungan AS untuk menghukum China berkaitan isu perdagangan. Malah, China juga tidak mesra dengan AS sejak 2015 sebelum kedatangan Presiden Donald Trump lagi.

Oleh yang demikian, tulisan ini bertujuan untuk memahami jika pertembungan di antara China dan AS semakin kuat, apakah ia boleh dikembalikan seperti bentuk asal? Serta sejauh mana rantau Asia Tenggara telah/akan ‘ditelan’ bersama-sama konflik yang berlaku pada sekiat tahun 2015-2020 dan apakah prospek masa hadapan dunia dengan kewujudan konflik-konflik di rantau ini.