Malaysia Dateline

Persamaan Bersatu-Umno hanya memperjuangkan orang Melayu dan Islam, kata Mukhriz

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata,hanya terdapat satu persamaan di antara Bersatu dan Umno iaitu memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Islam.

Bagaimanapun katanya Umno telah lari daripada perjuangan tersebut, sebaliknya menggunakan agenda perjuangan Melayu untuk melakukan penyelewengan, kleptokrasi dan salah guna kuasa.

“Bersatu tidak akan sekali-kali guna nama baik orang Melayu untuk samun Majlis Amanah Rakyat, Tabung Haji dan Felda bagi menubuhkan agensi baharu seperti 1Malaysia Development Berhad untuk kayakan ketua Umno bahagian.

“Bila sudah kaya, sedikit sahaja beri kepada rakyat Bantuan Rakyat 1Malaysia. Selepas itu, tergamak kata orang Melayu luar bandar perlu berterima kasih kepada UMNO yang bela nasib orang Melayu,” katanya
Mengulas kritikan bahawa Bersatu dilihat sebagai Umno 2.0, Mukhriz ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-2 Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam.

Mukhriz berkata cara Bersatu membantu orang Melayu adalah dengan memperkasa golongan 40 peratus berpendapatan terendah (B40) dan pada waktu sama membuka peluang kepada golongan lain untuk terus mencipta kekayaan yang akhirnya akan membayar cukai kepada kerajaan untuk disalurkan semula kepada rakyat.