Malaysia Dateline

Persamaan dunia perubatan dan politik, kata Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata  beliau memang sentiasa bercita-cita untuk menjadi seorang ahli politik.

“Saya memang seorang ahli politik pada mulanya, yang kemudian menjadi seorang doktor, kerana tanpa sebarang ijazah atau anugerah daripada universiti orang tidak akan percaya apa yang saya perkatakan kepada mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata perubatan adalah asas yang baik untuk politik.

“Dalam perubatan, apabila anda mempunyai masalah, anda tuju kepada sejarah, lakukan beberapa pemeriksaan fizikal, x-ray dan diagnosis penyakit dan beri rawatan

“Dalam politik juga sama, pentadbiran juga sama, anda mempunyai masalah, anda pergi kepada asalnya, sejarah kepada masalahnya, lihat kepada penyumbang masalah berkenaan, sifat dasarnya dan kemukakan ubat untuknya

Beliau berkata demikian semasa ucapan penerimaan selepas dianugerahi  Penaung Kehormat Pertubuhan Kesatuan Kejuruteraan ASEAN (AFEO) selasa lepas.

Semasa ucapan puji-pujian, pengerusi AFEO, Tan Sri Datuk Dr Ahmad Zaidee Laidin berkata, “Tun Dr Mahathir telah mencapai apa yang kita sendiri sebagai jurutera tidak pernah liputi. Beliau adalah antara kita, dalam pemikirannya yang meluas, beliau berupaya menjuruterakan saintifik dan teknologi kepada  negaranya (Malaysia) menerusi nasihat strategik dan pandangan mengenai potensi besar sains, kejuruteraan dan teknologi untuk kemajuan negaranya (Malaysia) dan rantau ini,”

Beliau meneruskan ucapan dengan mengutarakan mengenai bagaimana di bawah kepimpinan Dr Mahathir, begitu banyak projek mega infrastruktur menjadi kenyataan, seperti Kuala Lumpur City Centre [KLCC], Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Multimedia Super Corridor [MSC].

“Wawasan 2020 beliau untuk Malaysia mencapai status ekonomi negara maju sepenuhnya  menjelang tahun 2020 bukan sahaja dari segi pendidikan, kemasyarakatan, kematangan malahan kerajaan.

“Beliau membuka Malaysia kepada pelaburan asing, mengurangkan halangan perdagangan antarabangsa, penswastaan perkhidmatan kerajaan serta mewujudkan infrastruktur bertaraf dunia.”

“Sebagai pemimpin, Tun Dr Mahathir berjaya dalam menstruktur dan dengan penuh yakin berkomunikasi dengan jelas dan mesej membujuk bagi perubahan dalam sains, kejuruteraan dan teknologi,” kata Ahmad.

Tun Dr Mahathir berterima kasih kepada AFEO bagi penganugerahan itu dan berkata; “Kini, saya akan menjadi seorang jurutera, saya boleh membina harapan di negara saya.”

“Saya telah selesaikan perkara-perkara biasa, bertanding dalam pilihan raya dan menang pilihan raya, sudah tentu ini bukanlah mudah. Saya tidak begitu menyangka saya boleh berjaya, malahan sekarang ini pun saya terus-terusan mencubit badan saya bagi memastikan saya sebenarnya Perdana Menteri  (sekali lagi),” katanya dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Parti gabungannya, Pakatan Harapan menumpaskan Barisan Nasional, yang telah berkuasa selama enam dekad, pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lepas.

Ini adalah kali kedua Dr Mahathir, 93, menjadi Perdana Menteri Malaysia. Yang pertama dari 1981 hingga 2003 ketika beliau bersama Barisan Nasional.

— BERNAMA