Malaysia Dateline

Persatuan dakwa hasil restoran merosot 20 peratus selepas larangan merokok

Pendapatan restoran merosot sekurang-kurangnya 20 peratus selepas larangan merokok di premis makanan diperkenalkan, kata sebuah persatuan peniaga.

Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura mendakwa pelanggan tidak lagi melepak di kedai-kedai kopi tetaapi lebih suka membungkus makanan di tempat mereka boleh merokok.

“Ahli-ahli kami telah mengadu kedai-kedai mereka sangat sunyi sekarang sejak pelaksanaannya [mulai 1 Januari],” kata presidennya Datuk Ho Su Mong seperti dipetik Malay Mail.

Persatuan itu, yang mempunyai kira-kira 20,000 ahli, juga berkata pelanggan masih keliru dengan peraturan merokok sejauh tiga meter dari premis makanan.

“Perokok-perokok bertanya sama ada tiga meter itu dari kedai atau dari meja terdekat. Bagaimana pula kedai kopi di tempat terbuka?” kata Ho lagi.

Selain mengadu masalah pekerja restoran terpaksa berdepan kerenah pelanggan yang enggan mematuhi peraturan itu, beliau juga mencadangkan kerajaan menyediakan ruang merokok dengan tong sampah.