Malaysia Dateline

Persatuan Demi Rakyat P. Pinang alukan dividen 6.2 peratus KWSP

Robizal Romli

Pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa kadar dividen sebanyak 6.15 peratus bagi simpanan konvensional bagi tahun 2018 serta 5.90 peratus bagi simpanan shariah, amat dialu-laukan oleh Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang.

Menurut Timbalan Pengerusinya, Robizal Romli, pengumuman tersebut amat membanggakan kerana pulangan yang diberikan kali ini memenuhi sasaran pelaburan KWSP untuk memberikan pulangan melebihi kadar inflasi secara konsisten.

Jelas beliau lagi, komitmen yang ditunjukkan oleh KWSP dalam usaha untuk meningkatkan jumlah pulangan kepada para penyimpan sememangnya menjadi harapan semua ahli.

“Walaupun jumlah dividen yang diberikan pada tahun 2018 menurun, tetapi ia tetap konsisten.

“Begitu jua dengan jumlah dividen bagi simpanan shariah jika dibandingkan pada tahun 2017 adalah sebanyak 6.40 peratus, manakala bagi tahun 2018 adalah sebanyak 5.90 peratus.

“Secara tidak langsung turun naik dividen yang diterima oleh pencarum atau penyimpan adalah konsisten dan berterusan, ” ujarnya lagi.

Namun begitu tegasnya, jika dibandingkan sejak tahun 2008 sehinggalah 2018, peningkatan dividen simpanan konvensional bercambah dari setahun ke setahun.

Pada tahun 2008 dividen simpanan konvensional yang diberikan adalah sebanyak 4.50 peratus dan meningkat menjadi 5.65 peratus bagi tahun 2009.

Manakala bagi tahun 2010 pula ia meningkat lagi kepada 5.80 peratus dan pada tahun 2011 pula ialah sejumlah 6.00 peratus.

Sementara itu untuk tahun 2012 pula jumlah dividen yang telah diberikan turut meningkat kepada 6.15 peratus dan pada tahun 2013 pula ialah sebanyak 6.35 peratus.

Jumlah ini meningkat lagi kepada 6.75 peratus bagi tahun 2014 dan sebanyak 6.40 peratus pula bagi tahun 2015.

Namun begitu pada tahun 2016 ia menurun kepada 5.60 peratus.

Sebaliknya ia meningkat semula pada tahun 2017 apabila sejumlah 6.90 peratus diisytiharkan bagi dividen tersebut.