Persatuan Demi Rakyat tuntut kerajaan negeri tunaikan janji

Persatuan Demi Rakyat tuntut kerajaan negeri tunaikan janji

Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang, menuntut kerajaan negeri supaya segera menunaikan janji sebelum pilihan raya umum yang lalu untuk menempatkan penduduk asal Kampung Sungai Nibong Kecil.

Demikian dinyatakan oleh Bendaharinya, Ronny Toh ketika ditemui.

Menurut beliau lagi, isu penduduk kampung tersebut telah berlarutan begitu lama sehinggakan mereka yang dijanjikan akan ditempatkan kembali ke kampung asal di Kampung Sungai Nibong Kecil tidak menjadi realiti.

“Janji yang telah dibuat oleh wakil rakyat dalam Parlimen Bayan Baru dan juga Dun Pantai Jerejak sebelum ini ialah untuk menenpatkan semula penduduk setelah siapnya rumah kos rendah yang dijanjikan.

“Namun begitu sehingga kini majoriti dari mereka tidak mendapat kediaman ataupun rumah yang dijanjikan.

“Malah majoriti dari penduduk terlibat ditempatkan di kediaman Bayu Nyaman dan bukannya di Kampung Sungai Nibong Kecil,” ujarnya lagi.

Kata Ronny lagi, dari senarai penduduk yang didaftarkan hanya dua keluarga sahaja yang mendapat tempat seperti dijanjikan.

“Dalam senarai kediaman yang didaftarkan terdapat 829 rumah setinggan dalam Kampung Sungei Nibong Kecil.

“90 peratus dari mereka adalah masyarakat Melayu yang miskin, manakala 9 peratus adalah masyarakat Cina dan 1 peratus adalah keturunan India.

“Apa yang mereka kesalkan ialah janji untuk menempatkan semula penduduk tidak kesampaian di Kampung Sungai Nibong Kecil, sebaliknya mereka ditempatkan di kediaman Bayu Nyaman,” jelasnya lagi.

Oleh kerana itu kata Ronny, Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang menuntut supaya kerajaan negeri menunaikan segala janji yang dibuat kepada penduduk dengan segera.

Kegagalan untuk menunaikan janji tersebut katanya, akan memberi kesan yang negatif serta menghilangkan keyakinan penduduk terlibat kepada wakil rakyat sedia ada bagi kawasan Parlimen dan Dun terlibat.