Persatuan Dobi rayu kerajaan tarik larangan gaji pekerja asing

Persatuan Dobi rayu kerajaan tarik larangan gaji pekerja asing

Persatuan Dobi Selangor & Kuala Lumpur (SEKLLAAS) dan Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA) hari ini merayu kerajaan menarik semula dasar larangan dan pembekuan pengambilan pekerja asing di sektor perkhidmatan dan pendobian dalam negara.

Presiden MULA, Abdul Jalil Ibrahim dalam kenyataan bersama Presiden SEKLLAAS, Tham Ah Wah, berharap kerajaan untuk meneliti secara komprehensif dan mengadakan sesi suamuka secara aktif dengan pihak persatuan dan pemain industri.

Ini kerana difahamkan, majoriti pengusaha dobi dalam negara menggunakan hampir 60 hingga 80 peratus tenaga kerja buruh asing untuk melakukan kerja-kerja operasi seperti mencuci, melipat, dan menggosok.

“Sesi suamuka sangat penting supaya maklumat yang tepat terutama sumbangan industri dobi terhadap ekonomi, produktiviti dan cukai kepada pihak kerajaan dapat disalurkan secara terus.

“Dengan mengambil kira kebergantungan semasa sektor ini kepada kerja asing, kesan daripada dasar ini akan menyebabkan perniagaan perkhidmatan dobi yang berskala kecil dan besar bersiko untuk menutup perniagaan selain meningkatkan kadar Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI) yang bekerja secara tidak sah.

“Berdasarkan statistik kami, 40 peratus pengusaha tradisional dobi telah menutup perkhidmatan operasinya sejak 2014 dan semakin meningkat sejak 1 tahun yang lepas,” katanya dalam sidang media di Jalan Dutamas, hari ini.

Turut hadir, pegawai Perhubungan Awam SEKLLAAS, Brendan Kok; Pengarah Drop & Wash, Zarina Ismail Tom; Ketua Latihan MULA, Norhayati Ahmad Kamal; Setiausaha MULA, Nurul Idahayu Jalani; dan Ahli Jawatankuasanya, Mohd Noor Satapa.

Menurutnya, perkhidmatan dobi juga mencatat hampir tiada rekod jenayah yang dilakukan oleh buruh asing yang mana secara logiknya tidak seharusnya dasar pembekuan penggajian pekerja itu dilakukan.

Justeru katanya, sekiranya industri dobi tidak dapat beroperasi secara mampan, ia akan memberi impak yang negatif dan melumpuhkan keseluruhan ekosistem perniagaan yang berkaitan.

“Kami bukan sahaja menggajikan Pati, tapi juga bekerjasama dengan sektor badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggajikan golongan terpinggir ynag terdiri dari transgender, masyarakat miskin bandar, dan penduduk PPR.

“Boleh dikatakan, sebenarnya hampir 60 peratus masalah kami adalah untuk berhadapan dan menguruskan sikap masyarakat lokal kita yang suka berhenti kerja, berbanding masalah menguruskan perniagaan.

“Adalah dianggarkan pengusaha dobi di Lembah Klang memproses melebihi 1000 tan pinen sehari di mana pekerja tempatan tidak berminat untuk melakukan kerja mencuci, melipat, dan menggosok atau kerja 3D,” ujarnya.

Justeru, mereka yang mewakili pengusaha-pengusaha perkhidmatan dobi berharap supaya pihak Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri (KDN), serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil kira input dan cadangan kedua persatuan itu.

“Kami harap, kerajaan menyenaraikan industri dobi sebagai salah satu industri kritikal yang snagat memerlukan khidmat tenaga kerja buruh asing dan seterusnya menarik balik larangan pengambilan pekerja asing di sektor perkhidmatan dobi,” katanya.