Malaysia Dateline

Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah santuni keluarga daif

Persatuan Kebajikan Kesejahteraan Sabah (PKSS) telah menyumbangkan tangki air dan solar kepada keluarga daif di Kampung Rakit Kota Marudu semalam.

Pengerusinya, Zaidil Jatil berkata, ini adalah kali kedua pihaknya menyantuni keluarga Pacik Masingkin selepas berita mengenainya tular di media sosial baru-baru ini.

“Kehidupan mereka yang sangat daif dan ini adalah kali kedua kita menyerahkan sumbangan kepada keluarga berkenaan.

“Justeru, saya berharap keluarga ini dapat menjalani kehidupan seperti biasa sekali gus akan berusaha untuk membantu menguruskan bantuan kebajikan warga emas ini di Jabaran Kebajikan Masyarkat (JKM) Kota Marudu nanti,” ujar beliau.

Zaidi yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Parti AMANAH Negara Negeri Sabah menegaskan, kerajaan perlu lebih serius dalam menangani isu kemiskinan khususnya di luar bandar dan pedalaman.

“Masih ramai lagi masyarakat di luar bandar dan pedalaman tidak menikmati kemudahan asas yang baik seperti bekalan air bersih, elektrik, bantuan rumah dan lain-lain.

“Selain itu, saya juga berharap supaya kerajaan memudahkan urusan kepada mereka yang kurang berkemampuan ini terutamanya di kalangan warga emas yang tidak memiliki e-kasih” tambahnya.

Menurutnya lagi, Pacik masingkin kini tinggal bersama seorang anak yang hanya mengambil upah membersihkan kebun sawit dan adalah diharapkan lebih ramai lagi pihak akan tampil membantu keluarga berkenaan.

Turut hadir menyampaikan sumbangan semalam ialah Timbalan PKKS Mikely Tutun, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terangkapas, Masinah Ontih dan Osman Lile.