Persatuan Linguistik bantah PPSMI, dasar buruk dan gagal

Persatuan Linguistik bantah PPSMI, dasar buruk dan gagal

 

Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) membantah keras untuk pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atau meneruskan ‘dual languange programme’ (DLP) yang dilihat sebagai dasar buruk dan gagal.

Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepatutnya memberi hujah kuat tentang kegagalan dan keburukan PPSMI dan DLP, namun usaha untuk menyanggah pelaksanaan semula dasar itu tidak kelihatan.

Kamal Shukri Abdullah Sani

eliau berkata, malangnya KPM sendiri sanggup memperjudikan aset negara yang terdiri daripada anak bangsa sendiri dan jelas gagal, tetapi ‘aku’ nak teruskan juga DLP dan PPSMI.

“Mengapa hujah yang lemah dan mengelirukan diberikan oleh pihak KPM sendiri kepada pihak atasan atau Perdana Menteri?

“Memang sebagai mantan pegawai kanan, saya sedar banyak pegawai di KPM sendiri juga mabuk Bahasa Inggeris sehingga tidak dapat membezakan lagi antara kepentingan menguasai bahasa itu dengan kaedah yang betul dengan sikap mengikut sahaja perintah atasan khasnya daripada menteri walaupun jelas salah, bertentangan peraturan, akta dan undang-undang sedia ada.

“Apalah guna para pegawai kementerian dengan ijazah sarjana dan kedoktoran yang berjela-jela serta otak yang bergeliga, tetapi tidak sanggup menyatakan kebenaran berlandaskan hukum dan martabat ilmu.

“Sanggup membutakan mata, hati dan telinga terhadap kemungkaran dasar pendidikan negara, sekalipun oleh pimpinan atasan kementerian dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamal menambah, sekiranya diteliti dengan betul dan jujur, tugas pegawai profesional di kementerian adalah memberi nasihat profesional kepada sang menteri, tetapi bukannya menerima arahan menteri yang boleh pergi, bertukar ganti atau kalah setiap lima tahun sekali.

Dalam isu berkenaan, Timbalan Presiden PLM itu turut mempersoalkan tentang musibah yang bakal diterima oleh generasi masa depan dan siapakah yang angkuh untuk memikul ‘dosa’ tersebut?

“Pelbagai hujah telah diberikan sama ada melalui forum, bengkel, debat, seminar, tulisan, surat, buku dan juga memorandum.

“Perarakan 100,000 rakyat, tulisan dan sebagainya kepada pihak menteri, KPM dan Perdana Menteri sekarang dan sebelum ini, tetapi nampaknya kedegilan untuk melaksanakan PPSMI, meneruskan DLP tetap semakin kuat.

“Ingatkah kita akan kata-kata ini, kesilapan seorang ‘doktor’ bakal membunuh seorang pesakit tetapi kesilapan KPM bakal ‘membunuh’ satu generasi,” katanya lagi.