Persatuan mahasiswa cadang Nik Nazmi dilantik Menteri Belia dan Sukan

Persatuan mahasiswa cadang Nik Nazmi dilantik Menteri Belia dan Sukan

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

Presiden PKPIM, Muhammad Khair Sujud berkata, cadangan berdasarkan pengalaman Nik Nazmi sebagai bekas Timbalan Speker Dun Selangor dan Exco bertanggungjawab yang mengurus hal pendidikan Serra, antara pelopor awal program Adun Muda Selangor.

“Beliau juga diakui mesra orang muda dan merupakan peminat tegar sukan bola sepak. Justeru, watak individu yang pernah menjadi wakil rakyat termuda di Dun Selangor ini wajar dipertimbangkan Perdana Menteri bagi membawa suara hampir 14 juta belia Di Malaysia.

“PKPIM juga berpandangan Menteri Belia dan Sukan yang baharu haruslah mampu memenuhi aspirasi anak muda dan golongan belia Malaysia.

“Ia meliputi wawasan jelas bagi meneruskan agenda pembangunan Belia Malaysia bersesuaian dalam era Revolusi Perindustrian Yang Keempat ini,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Jelas Muhammad Khair, PKPIM menggesa pembangunan akhlak dan Integriti belia serta pemerkasaan semangat kenegaraan dan patriotisme dalam kalangan belia dan anak muda harus menjadi perhatian utama Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

PKPIM juga katanya, berpendapat isu berkaitan organisasi Belia Negara harus diberikan keutamaan termasuklah soal peruntukkan kepada persatuan serta kajian berkaitan penetapan umur belia Di Malaysia.

“Dalam masa sama, peningkatan pencapaian atlet dalam bidang sukan juga harus diberikan perhatian.

“PKPIM mengambil contoh prestasi YB Khairy Jamaluddin semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan yang berjaya meningkatkan taraf dan kualiti sukan negara ke suatu tahap yang boleh dibanggakan,” kata beliau.

Tambah beliau, sebagai salah sebuah ahli gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM), PKPIM akan terus bersama MBM memainkan peranan bagi memastikan suara Belia Malaysia terus dimartabat sebagai salah satu komponen penting dalam proses pembangunan negara.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote